KHALID SAMAD

Oleh MANZAIDI MOHD AMIN

 

SHAH ALAM – Jumlah 40 kerusi Parlimen yang dikenali pasti untuk dipertandingkan Parti Amanah Negara (PAN) adalah berdasarkan kekuatan parti itu ketika bertanding pada pilihan raya umum sebelum ini.

Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Abdul Samad berkata, kerusi itu juga dipilih PAN setelah mengambil kira strategi yang dicadangkan setiap parti mengikut negeri masing-masing.

Bagaimanapun, katanya, pengagihan kerusi perlu dibincangkan bersama dalam mesyuarat Pakatan Harapan (PH) dan rakan baharunya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Ini mungkin akan menyebabkan sedikit pengubahsuaian agihan kerusi antara parti termasuk PPBM.

“Oleh kerana ianya akan dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat, maka istilah ‘mencuri’ tidak sesuai. Istilah mencuri adalah sesuai untuk kisah seperti di Kota Damansara pada PRU13 lalu.

“Pada masa itu, Pas melanggar keputusan yang dibuat bersama dan mencuri kerusi Keadilan (PKR). PAN tidak akan berkelakuan begitu,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Menurut Khalid, Pas tidak perlu risau mengenai PAN berbalah dengan PKR berhubung kerusi kerana mereka termasuk DAP dan PPBM dalam PH akan sentiasa berbincang untuk mencapai persetujuan tanpa perbalahan.

Namun katanya, beliau menerima secara terbuka teguran dari Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad itu.

“Teguran dari Iskandar diterima oleh kami dengan hati terbuka. Insya-Allah hubungan kami dalam Pakatan Harapan dan PPBM tidak akan terjejas atas sebab kerusi.

“Kami mengutamakan matlamat mengalahkan Barisan Nasional (BN) dan oleh itu usaha mengukuhkan PH dan PPBM akan sentiasa diutamakan berbanding isu kerusi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast