Gambar hiasan

Oleh Lokman Noor Adam

Sepertimana yang kita sedia maklum, dua tahun lalu bila harga minyak dunia turun, kita telah memutuskan untuk mengapungkan harga minyak mengikut sistem apungan terkawal atau terurus mulai 1 Disember 2014.

Ini bermakna kita tidak lagi memberikan subsidi untuk Ron95, mahupun diesel. Harga purata bulan Disember akan menjadi harga bulan Januari 2015.

Purata maksudnya harga dari 1hb hingga 31hb dibahagi dengan 31 hari. Bukan harga minyak dunia di hujung bulan mengikut pemahaman sesetengah pihak.

Apabila harga pasaran minyak mentah dunia meningkat pada bulan Disember 2016, maka penetapan harga runcit bagi bahan api tersebut di pasaran Malaysia juga dijangka turut meningkat.

Selain daripada itu juga, satu lagi perkara yang akan memberi kesan kepada harga minyak tempatan adalah pergerakan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Dengan pengukuhan dolar berbanding ringgit kini, ianya akan mengakibatkan kos pembelian minyak juga akan meningkat.

Maka ianya akan memberi kesan peningkatan kepada penetapan harga bahan api di Malaysia.

Ramai yang masih tidak boleh terima bahawa kita perlu berhenti memberikan subsidi secara pukal dan membantu rakyat melalui pengagihan subsidi kepada kumpulan sasar yang betul. Subsidi pukal yang diberi sebelum ini bererti orang kaya dan orang miskin menerima nilai subsidi yang sama.

Contohnya pada bulan Julai 2014, setiap liter Ron95, kita memberikan subsidi sebanyak RM0.6843 seliter.

Ini bermakna orang kaya dan orang miskin akan menerima nilai subsidi yang sama setiap liter. Malangnya si kaya menggunakan kuantiti minyak yang jauh lebih banyak berbanding si miskin.

Contohnya si miskin yang menggunakan kereta Kancil, bila mereka mengisi tangki mereka penuh dengan Ron95, jumlah subsidi yang mereka terima hanyalah sekitar RM16.29.

Manakala mereka yang datang dari kelas menengah yang menggunakan Toyota Camry membelanjakan RM150.00 untuk mengisi penuh tangki mereka. Jumlah subsidi yang terpaksa kerajaan bayar kepada mereka adalah sebanyak RM48.87, ini adalah tiga kali ganda lebih besar dari si miskin tadi.

Adakah ini adil?

Apa jadi pada petani yang hanya ada sebiji Honda Cup yang cuma menggunakan sekitar tiga liter petrol untuk memenuhkan tangki motor mereka.

Subsidi yang dia dapat hanya RM2.05. Banyak mana pula subsidi yang diterima oleh mereka yang menggunakan Mercedes, BMW, Land Crusier dan sebagainya?

Sudah tentulah, lagi besar tangki mereka dan lagi banyak penggunaan petrol mereka, lagi berat beban subsidi yang terpaksa kerajaan tanggung.

Berdasarkan kajian yang dibuat oleh Kementerian Kewangan, kita membelanjakan 70 peratus dari nilai subsidi kita untuk membantu orang yang berada, manakala hanya 30 peratus subsidi yang kita berikan dalam bentuk Ron95 dan diesel dinikmati oleh rakyat terbanyak.

Itu sebabnya, pemberian subsidi ini perlu kita rasionalkan.

Dalam masa yang sama juga kita perlu sedar bahawa duit yang kita kutip daripada pembayar cukai sewajarnya dipulangkan kepada rakyat Malaysia.

Di bawah sistem subsidi pukal, warga Indonesia dan Bangladesh yang tinggal di Malaysia juga akan menikmati subsidi hasil dari cukai yang dibayar oleh rakyat Malaysia.

Malah, setiap hari terutamanya dihujung minggu, subsidi yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat Malaysia bocor kepada kereta Singapura, diseludup ke Thailand dan Filipina dan tidak kurang juga dijual diperairan antarabangsa.

Subsidi bererti bantuan, pertolongan dan pemberian dari kerajaan kepada rakyatnya.

Jika ditanya siapakah yang patut mendapat pertolongan, sudah pastilah pertolongan itu perlu kita utamakan yang susah dahulu sebelum yang senang.

Mestilah diberikan kepada rakyat kita, bukan warga asing.
lokman-noor-adam

 

Datuk Lokman Noor Adam, Pengarah Komunikasi Strategik, Kementerian Kewangan Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast