Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan menambah baik program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) melalui peluasan barangan asas yang dibenarkan iaitu meliputi produk kebersihan rumah seperti sabun atau serbuk pencuci untuk pakaian, pinggan mangkuk dan lantai.

Pembelian itu berkuat kuasa mulai hari ini, 1 Mei 2025.

Kementerian Kewangan berkata, Kerajaan Madani mengambil keputusan untuk menambah kategori barangan SARA susulan permintaan meluas para penerima.

Dengan ini, kategori barangan berdaftar di bawah SARA meningkat kepada 14, merangkumi pelbagai barangan makanan asas, kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan.

“Kerajaan Madani sentiasa mendengar suara rakyat demi memastikan kelangsungan hidup mereka terus terbela. Peluasan kategori barangan yang dibenarkan di bawah SARA ini adalah hasil maklum balas diterima daripada majoriti penerima.

“Arakian, kerajaan bertindak segera untuk melaksanakannya.

“Insya-Allah, Kerajaan MADANI akan terus menambah baik pelaksanaan program SARA dari semasa ke semasa,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan.

Sepanjang bulan April 2025, lebih 3.9 juta penerima SARA telah mula menggunakan MyKad untuk membeli barangan asas daripada
kedai yang berdaftar dengan SARA.

“ni merupakan sambutan yang menggalakkan apabila 72% daripada jumlah 5.4 juta penerima SARA mula untuk berbelanja menggunakan MyKad dalam bulan pertama pengkreditan SARA.

“Penerima SARA telah ditingkatkan daripada 700,000 kepada 5.4 juta mulai bulan April 2025,” kata Kementerian Kewangan.

Manakala, pasar raya berdaftar di bawah SARA telah mencecah lebih 3,700 buah di seluruh negara berbanding 700 buah pada tahun 2024 dan bilangan kedai runcit akan terus ditambah bagi memastikan terdapat kedai SARA yang berdekatan dengan tempat tinggal setiap penerima.

Dari segi prestasi pelaksanaan SARA sehingga 29 April 2025, peratus tertinggi penerima yang telah membuat pembelian SARA melalui MyKad adalah di Sabah dengan 84%, diikuti Perlis (82%), Kedah (80%), Wilayah Persekutuan Labuan (79%) dan Kelantan (78%).

Kadar maksimum SARA yang diterima adalah sehingga RM2,100 untuk 2025 berbanding RM1,200 pada tahun 2024, peningkatan 75% daripada yang diterima pada tahun lepas.

Pembelian SARA boleh dibuat sepanjang tahun dan baki kadar/kredit bulanan SARA akan dibawa ke bulan seterusnya sehingga 31 Disember 2025. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast