Rakyat Sweeden yang menantikan tempoh bekerja enam jam sahaja sehari mungkin terpaksa menerima hakikat cadangan tersebut menyebabkan kos mengatasi manfaat.

Laporan Bloomberg menyebut, berdasarkan keputusan awal daripada eksperimen selama dua tahun yang dijalankan di Gothenburg, sebuah bandar di Sweden yang juga merupakan kawasan pengeluaran kenderaan Volvo.

Bagi mengurangkan lapan jam waktu bekerja di sebuah rumah penjagaan orang tua yang mempunyai 68 jururawat, bandar tersebut terpaksa mengupah 17 jururawat tambahan dengan kos tambahan sebanyak 12 milion kronor (AS$2.2 juta).

Kajian menunjukkan pekerja lebih sihat apabila cuti sakit dapat dikurangkan dan penjagaan pesakit juga bertambah baik.

Namun begitu, bandar tersebut tidak bercadang untuk menjadikan cadangan itu sebagai rancangan tetap.

“Ia menyebabkan kos yang lebih tinggi, pastinya. Ia terlalu mahal untuk dilaksanakan,” kata seorang ahli politik pembangkang, Daniel Bernmar yang juga bertanggung jawab mengendalikan penjagaan orang tua di bandar tersebut.

Eksperimen di Gothenburg itu merupakan siri terkini uji kaji terhadap tempoh bekerja singkat di Sweeden, sebuah negara yang berbangga kerana menjadi negara berkebajikan.

Uji kaji itu dipantau teliti di seluruh dunia dengan aktivis buruh menjadikan Sweeden sebagai model.

Bernmar mahu melihat lebih banyak kajian mengenai hasil jangka panjang kepada masyarakat secara keseluruhan.

Salah satu hujahnya, ia akan membolehkan rakyat yang bekerja dalam bidang berintensifkan buruh untuk memanjangkan hayat kerjaya mereka.

“Secara peribadinya, saya percaya waktu bekerja yang lebih pendek adalah penyelesaian jangka panjang.

Semakin kita kaya, lebih banyak yang kita boleh manfaatkan kekayaan tersebut, lebih dari sekadar membeli kereta baharu atau membeli dengan lebih banyak,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast