Home Nasional Enggan bawa barang seludup, rakyat Malaysia terkandas di Ecuador

Enggan bawa barang seludup, rakyat Malaysia terkandas di Ecuador

KUALA LUMPUR – Seorang rakyat Malaysia terkandas di Quito, Ecuador selepas enggan membawa barangan untuk diseludup ke Malaysia.

Kes Muhammad Fariz R. Azli itu sekarang dikendalikan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Santiago, Chile yang juga diakreditasi ke Ecuador.

Muhammad Fariz, 24 tahun telah berada di Guayaguil, Ecuador hampir sebulan setengah sebelum menghubungi pihak Kedutaan Besar melalui saluran Facebook Kedutaan Besar pada 26 Disember 2016.

Beliau yang berasal dari Pahang berada di Guayaquil, Ecuador atas urusan kerja.

Semasa perjalanan pulang ke Malaysia, beliau telah diminta untuk membawa ‘barangan’ yang disyaki untuk diseludup masuk ke Malaysia.

Berikutan keengganan beliau untuk memenuhi permintaan tersebut, beliau telah ditinggalkan di Guayaquil.

Kementerian Luar Negeri berkata, Kedutaan Besar telah mengambil tindakan segera dengan menghubungi Konsul Kehormat Malaysia di Eduacor bagi menyalurkan bantuan konsular segera dengan memberi duit poket dan tiket penerbangan dari Guayaquil ke Quito kerana beliau telah mempunyai tiket untuk pulang ke Malaysia bertarik 28 Disember 2016 dari Quito.

Walau bagaimanapun, tiket tersebut didapati palsu dan menyebabkan beliau kini terkandas di Quito.

Pihak Kedutaan Besar selanjutnya telah menghubungi ayah Muhammad Fariz bagi memaklumkan kejadian tersebut dan sedang dalam usaha membeli tiket penerbangan pulang ke Malaysia.

Buat masa ini, beliau tinggal bersama keluarga yang dikenali oleh Kedutaan Besar sehingga beliau memperolehi tiket pulang ke Malaysia. Bantuan ini dihulurkan melalui ikhtiar dan inisiatif Kedutaan Besar sendiri.

Kedutaan Besar mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan dan menasihatkan supaya rakyat Malaysia yang ingin ke luar negeri atas tujuan melancong mahu pun atas urusan kerja hendaklah sentiasa berhati-hati dan berwaspada terutamanya apabila ditawarkan tiket percuma dan ganjaran lumayan oleh pihak tertentu yang menjalankan sindiket penyeludupan.

Kementerian Luar turut menasihatkan rakyat Malaysia memaklumkan kepada ahli keluarga atau rakan karib apabila ingin melancong ke luar negara.

Bagi rakyat Malaysia yang mempunyai urusan kerja bagi tempoh yang singkat atau pun panjang juga dinasihatkan untuk berbuat demikian dan mendaftar dengan Pejabat Perwakilan Malaysia yang terdekat.

Rakyat Malaysia boleh melayari Portal Wisma Putra (www.kln.gov.my) bagi mendapatkan maklumat Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negeri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast