Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Irwan Seregar Abdullah memberikan kenyataan media mengenai isu BR1M yang dikatakan memanfaat kepada rakyat berpendapatan rendah di Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 05 JANUARI 2017.

PUTRAJAYA – Penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada tahun ini boleh menggunakan bantuan itu sebagai wang pendahuluan untuk membeli kereta Protoz Iriz seterusnya menjadi pemandu teksi Uber.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah berkata, langkah itu merupakan salah satu inisiatif Bajet 2017 untuk membolehkan penerima BRIM yang tidak memiliki kenderaan mendapat pendapatan sampingan dengan menjadi pemandu teksi.

Beliau berkata, ia akan melibatkan kerjasama antara Proton Holdings Berhad, Uber dan Bank Simpanan Nasional.

“Ketika ini, mereka sedang melakukan rundingan dan perkembangan status terkininya belum diketahui.

“Namun langkah memboleh penerima BR1M menjadi pemandu Uber untuk mencari pendapatan sampingan akan dilaksanakan pada tahun ini,” katanya dalam sidang media BR1M di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Irwan menjelaskan, pemandu Uber secara sambilan boleh mendapat pendapatan lebih RM4,000 hingga RM7,000 sebulan bergantung tempoh jam mereka bekerja.

“Dengan ini, kerajaan akan menggalakkan rakyat miskin keluar dari kategori B40 dan pada masa sama, kerajaan masih mengkaji kaedah BR1M kepada rakyat secara lebih efektif dan efisien,” katanya.

Pada masa sama, Irwan menegaskan pemberian BR1M bukanlah satu bentuk rasuah kepada rakyat namun satu pemberian ikhlas kerajaan membantu rakyat  berpendapatan rendah.

“BR1M dirangka secara mendalam dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak dan golongan profesional termasuk agensi kerajaan seperti Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi dan Bank Negara yang berpendapat bahawa satu mekanisma baharu perlu dilaksana untuk meringan kos sara hidup golongan pendapatan rendah.

“Sebagai langkah pertama, kerajaan telah melaksanakan BR1M pada tahun 2012 dan mendapat sambutan daripada penerima. Malah institusi antarabangsa seperti Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa turut memuji pelaksanaan BR1M.

“Selain itu, kajian oleh Universiti Kebangsaan Malaysia mendapati 83.4 peratus orang awam sangat bersetuju supaya program BR1M dikekalkan,” katanya.

Irwan turut melahirkan rasa kehairanan kerana terdapat negeri-negeri yang memerintah turut memberi bantuan kepada rakyat.

“Di Pulau Pinang dan Selangor terdapat pelbagai bantuan seperti Skim Mesra Usia Emas, Program Bantuan Food Stamp, Program Bantuan Ibu Emas, Skim Bantuan Tadika Selangor, Program Skim Pelajar Emas, Program Penghargaan Warga Emas dan Program Anak Emas.

“Adakah semua bantuan diberikan oleh negeri-negeri tersebut boleh dikategorikan rasuah? Tentunya tidak,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast