KUALA LUMPUR – Mayat seorang wanita ditemui dipercayai dicampak dari sebuah van di tepi Lebuhraya Shah Alam (Kesas) berdekatan kawasan Rehat dan Rawat Awan Besar, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sekitar jam 2.58 petang tadi.
“Pengadu memaklumkan terlihat seorang wanita dicampak dan jatuh dari sebuah van di lebuh raya itu menghala ke Petaling Jaya dan van itu terus melarikan diri.
“Pemeriksaan awal mendapati, mangsa merupakan warga tempatan berusia 44 tahun dan beralamat di Menglembu, Ipoh, Perak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Aidil, mayat wanita itu telah dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM UKM) untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
“Pada masa sama, polis sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti identiti pemandu van dan motif kejadian,” katanya. – Malaysiagazette
















