PUTRAJAYA – Kejatuhan ringgit pada hari ini merupakan satu fenomena dan trend itu akan berlaku dalam tempoh yang tidak lama.
Pada masa sama, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah berkata, dolar menjadi kukuh ketika ini kerana janji yang dibuat oleh bakal Presiden Amerika Syarikat yang baharu, Donald Trump.
“Semua matawang asing turut mengalami nasib yang sama dan bukan sahaja ringgit yang menerima tempias.
“Saya bukannya pak nujum yang boleh ramal ringgit akan kembali kukuh pada masa bila.
“Kenyataan individu yang mengatakan ringgit akan kembali kukuh pada pertengahanan tahun adalah pandangan peribadi mereka.
“Bagaimanapun kita harap kembali kukuh dan kejatuhan nilai ringgit adalah pusingan biasa dalam ekonomi terbuka yang diamalkan oleh Malaysia.
“Ringgit akan naik dan jatuh dan ia akan berlaku lagi pada masa akan datang dan sudah pasti Bank Negara sudah pasti akan memantau senario ini,” katanya dalam sidang media Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Irwan turut menegaskan, semua projek mega yang telah dirancangkan akan diteruskan pada tahun ini di sebalik kejatuhan nilai ringgit itu.
Semalam, ringgit menjunam ke paras terendah iaitu RM4.5002 berbanding dolar Amerika Syarikat sejak krisis kewangan Asia 1998.
Prestasi ringgit yang tidak memberangsangkan berbanding mata wang lain di rantau Asia dijangka berterusan dalam masa terdekat ini.
Sementara itu, Irwan yang pengerusi lembaga pengarah 1Malaysia Development Bhd (1MDB) turut mengesahkan firma pelaburan kerajaan itu telah melantik sebuah firma audit baru selepas Deloitte menarik diri daripada menyempurnakan tugas mereka tujuh bulan lalu.
Beliau berkata, firma audit dikenali Parker Randall dilantik untuk mengaudit penyata kewangan 1MDB dan anak-anak syarikatnya.-MalaysiaGazette