Guan Eng dan Li Koon sedaya upaya cuba mengelak daripada dibicarakan

KUALA LUMPUR – Dua notis usul yang difailkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon bersabit kes rasuah akan diperdengarkan pada 7 Februari ini di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Kedua-duanya memfailkan notis usul itu bagi mengisytiharkan Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang disabitkan ke atas mereka, sebagai tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Guan Eng yang diwakili peguam Gobind Singh Deo dan Li Koon diwakili Datuk V. Sithambaran telah memaklumkan sudah memfailkan notis berkenaan dua minggu lalu.

Pada 30 Jun lalu, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah membabitkan penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan dan pembelian lot tanah serta sebuah banglo di bawah nilai pasaran.

Bagi pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Sek­syen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Li Koon pula mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat bagi mendapatkan untuk Guan Eng lot tanah dan rumah banglo terbabit dan dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 165 kanun sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Masri Mohd Daud.

Kes rasuah kedua-dua mereka itu telah disebut di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 30 September lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast