Madhuwanti Pathak (kiri) dan Girish Pote

MUMBAI – Seorang lelaki India dihukum penjara seumur hidup selepas didapati bersalah membunuh isterinya sebelum mencincang badan dan menyembunyikan mayat itu dalam peti sejuk tiga tahun lalu.

Girish Pote, 38, didapati bersalah membunuh Madhuwanti Pathak, seorang warga Perancis pada 3 Disember 2013.

Ketika kejadian, Pathak berusia 33 tahun.

Pote membunuh isterinya selepas Pathak memberitahu mahu meninggalkan India untuk kembali ke Perancis, tempat dia dilahir dan dibesarkan.

Pathak dibunuh di kediaman mereka di sebuah flat di Bhayandar, pinggir bandar utara Mumbai.

Pote membunuh Pathak selepas dia membeli pisau dari pusat membeli-belah berdekatan, kata hakim.

 

Mahkamah diberitahu bagaimana Pote memutuskan untuk mencincang tubuh isteri dan menyembunyikannya di dalam peti sejuk kerana tidak mahu perbuatannya dikesan oleh kamera litar tertutup yang dipasang di lobi dan lif bangunan kediaman mereka.

Jenayah mengerikan itu terdedah selepas Pote mengaku kepada sepupunya dan kemudian melaporkan kepada polis.

“Pathak mahu kembali ke Perancis selepas menjual hartanah di Mumbai,” pendakwa Bhuleshwar Hinge memberitahu mahkamah semasa perbicaraan, menurut agensi berita Press Trust of India.

Semasa siasatan, Pote mendedahkan bahawa isterinya tidak suka India dan mahu mengambil wang hasil penjualan hartanah dan terbang kembali ke Perancis, tambah Hinge.

Tindakan Pathak itu telah ditentang oleh Pote dan menyebabkan berlaku pergaduhan antara mereka.

Pasangan itu berkahwin pada Jun 2011 dan mempunyai seorang anak yang berusia dua tahun semasa kematian Pathak.

Ibu Pathak, seorang ahli muzik Perancis, merupakan pemilik kediaman tempat pasangan itu tinggal.

Bapa Pathak seorang warga India dan mangsa adalah pemegang pasport Perancis.

Pendakwa telah memohon hukuman mati tetapi hakim Mahkamah Thane, di utara Mumbai, memutuskan hukuman ke atas Pote ‘sehingga akhir biologi’ kekal. – MalaysiaGazette