PETALING JAYA – Kerajaan Madani boleh mengurangkan defisit fiskal sekiranya syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLICs) termasuk Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) boleh menjana pelaburan dan meningkatkan pulangan.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, defisit fiskal itu boleh dikurangkan dengan sekurang-kurangnya KWAP menampung kos pembayaran pengurusan dana pencen sektor awam.
“Kita menubuhkan KWAP sebagai pengurusan dana pencen sektor awam. Kerajaan hari ini membayar pencen lebih kurang RM30 bilion setahun.
“Kita sedang memikirkan bagaimana kita boleh membina KWAP supaya satu hari nanti apa sahaja pencen dan Kerajaan bayar, sebenarnya akan datang daripada pulangan daripada dana yang menjana pulangan itu akan dapat menampung RM30 bilion itu.
“Kalau tak dapat tampung RM30 bilion, mungkin 50 peratus iaitu RM15 bilion, kalau tak tampung RM15 bilion, boleh jadi RM10 bilion,” katanya berucap pada Forum Ilmuwan Malaysia Madani Siri 5 yang dipengerusikan Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Johari, KWAP ketika ini menyumbang kepada kerajaan kira-kira RM5 bilion setiap tahun.
“Kalau bila tengok bajet Perdana Menteri hari ini, ada satu garisan, KWAP bagi RM5 bilion.
“Kalau kita ada defisit, katakan 4 peratus, kalau KWAP ini, satu institusi yang boleh menjana pulangan supaya setiap tahun mereka boleh menyumbang RM10 bilion atau 15 bilion kepada kerajaan dari segi pulangan pelaburan.
“Jadi kita punya defisit ini boleh berkurang kerana dia (KWAP) menyumbang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette