Keadaan Hilux kemek teruk selepas terbabas ke sebelah kiri jalan sebelum berpusing dan melanggar penghadang tengah.

MARAN – Sebuah kenderaan pacuan empat roda merempuh penghadang tengah Lebuhraya Pantai Timur selepas hilang kawalan dan terbabas ketika cuba memotong lori, petang semalam.

Ketua Polis Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata kejadian kira-kira jam 3.45 petang di Kilometer 155.7 LPT arah barat itu menyebabkan lima individu termasuk empat warga China cedera.

“Kesemua mangsa terdiri daripada seorang pemandu lelaki Melayu dan empat penumpang warga China yang dalam perjalanan dari Pejabat ECRL Maran menuju ke Lanchang.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, Toyota Hilux berkenaan dipercayai hilang kawalan ketika cuba memotong sebuah lori yang nombor pendaftarannya masih belum dikenal pasti,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Kenderaan tersebut kemudian terbabas ke sebelah kiri jalan sebelum berpusing dan melanggar penghadang tengah.

Kesemua mangsa yang mengalami kecederaan dikejarkan menggunakan ambulans ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu yang gagal mengawal kenderaan, namun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis turut meminta saksi atau orang ramai yang melihat kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Maran, Inspektor Muhaimin Omar di talian 017-943 6741 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here