Seorang kanak-kanak lelaki terputus kemaluan ketika bersunat menggunakan teknik pembedahan laser di sebuah klinik di Kajang. - Gambar hiasan

SEGAMAT – Lesen perubatan doktor dan klinik boleh digantung sekiranya terdapat unsur kecuaian dalam melakukan prosedur berkhatan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Bagaimanapun beliau berkata siasatan terperinci serta menyeluruh perlu dilakukan terlebih dahulu terhadap kes komplikasi berkhatan dan tindakan penggantungan itu akan dibuat sekiranya terdapat bukti mencukupi bahawa berlaku kecuaian.

“Tindakan kementerian (kesihatan) ada dua iaitu melalui MMC (Majlis Perubatan Malaysia) adakah tindakan itu (prosedur berkhatan) selaras dengan profesionalisme kedoktoran. Kalau dia (doktor) tidak sampai standard, kita boleh ambil tindakan dari segi kecuaian.

“Kedua amalan kesihatan di mana setiap klinik berdaftar mereka ada kewajipan menyediakan kemudahan yang mencukupi dan menjalankan operasi dengan baik, jika ada risiko daripada operasi mereka perlu mengawalnya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di Batu Anam di sini Sabtu.

Sebelum ini terdapat dua kes komplikasi berkhatan dilaporkan di Kuala Lumpur membabitkan dua kanak-kanak lelaki masing-masing berusia sembilan dan 10 tahun, apabila sebahagian daripada alat sulit mereka dilapor terputus semasa menjalani prosedur itu.

Dr Subramaniam berkata dua kes komplikasi berkhatan itu sedang dalam siasatan dan kementeriannya akan mengambil tindakan setelah siasatan selesai.

“Kementerian kita lihat daripada dua tindakan tadi, tetapi kalau pihak keluarga mahu ganti rugi dan sebagainya mereka kena ambil kes (bawa kes ke mahkamah), itu luar bidang kementerian,” katanya.

Ditanya tentang dakwaan terdapat sebuah lagi kes komplikasi berkhatan berlaku di Selangor, beliau berkata kementeriannya akan menyiasat tentang dakwaan tersebut.

Katanya kadar kes komplikasi berkhatan adalah rendah di negara ini dan pernah terjadi pada masa lepas, namun dengan kemajuan teknologi maklumat terutama media sosial, kes ini disebar dengan luas serta pantas sehingga menjadi perhatian umum.

— BERNAMA



IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast