Zaim Ikhwan Zahari (kanan) keluar dari Mahkamah Sesyen Petaling Jaya selepas sebutan kes pengabaian Zayn Rayyan Abdul Matin. FOTO NORLIZAH ABAS, 28 JANUARI 2025

PETALING JAYA – Perbicaraan kes ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matin tetap dimulakan di Mahkamah Sesyen di sini pada 3 Februari ini meskipun pasangan tersebut memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan mengabai kanak-kanak autisme itu.

Hakim Dr. Syahliza Warnoh menetapkan demikian selepas menolak permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan pada Februari dan Mac ini sementara menunggu permohonan tersebut didengar di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

“Pada tarikh lalu, mahkamah telah minta pihak-pihak kemas kini perkembangan notis usul. Oleh kerana permohonan belum didengar, saya akan meneruskan perbicaraan pada 3 Februari ini,” ujar hakim berkenaan.

Sehubungan itu, tarikh-tarikh perbicaraan selama 15 hari yang telah ditetapkan iaitu pada 3 hingga 7 Februari, 17 hingga 21 Februari dan 10 hingga 14 Mac, dikekalkan.

Pada 21 Januari lalu, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf, 30, memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan mengabaikan Zayn Rayyan, 6, dalam usaha mendapat perintah agar mereka dibebaskan daripada pertuduhan itu.

Ismanira Abdul Manaf (kiri) berjalan keluar dari Mahkamah Sesyen Petaling Jaya selepas sebutan kes pengabaian Zayn Rayyan Abdul Matin. FOTO NORLIZAH ABAS. 28 JANUARI 2025

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Iman Ahmad Sapian memaklumkan, pihaknya menerima salinan notis usul tersebut melalui emel pada Jumaat lalu.

Ujar beliau, permohonan itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 4 Februari ini.

Sehubungan itu, beliau memohon arahan lanjut mahkamah sama ada perbicaraan yang telah ditetapkan sebelum ini akan diteruskan atau sebaliknya.

Sementara itu, peguam Haresh Mahadevan yang mewakili pasangan tersebut mengesahkan dokumen permohonan telah diserahkan kepada pihak pendakwaan.

Ujar beliau, pembelaan menunggu arahan lanjut dari Mahkamah Tinggi berhubung pemfailan afidavit dan penyediaan penghujahan.

“Atas alasan itu, kami memohon tarikh-tarikh perbicaraan dilapangkan sementara menunggu pelupusan notis usul di Mahkamah Tinggi berkaitan pertuduhan yang dihadapi oleh kedua-dua tertuduh.

“Jika perbicaraan diteruskan (sebelum permohonan pembatalan pertuduhan didengar), ia akan memprejudiskan anak guam,” ujar Haresh.

Namun, Syahliza berpendirian, mahkamah memerintahkan perbicaraan dimulakan seperti yang dijadualkan kerana setakat ini, permohonan pembatalan pertuduhan belum didengar dan tiada keputusan dibuat oleh Mahkamah Tinggi.

Dalam pada itu, Kamarul Iman memaklumkan, meskipun tiada bantahan terhadap permohonan penangguhan, pihak pendakwaan bersedia untuk menjalankan kes.

Menerusi afidavit sokongan diikrarkan bersama notis usul, pasangan itu mendakwa, pertuduhan terhadap mereka tidak mendedahkan sebarang kesalahan mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.

“Oleh itu, kedua-dua tertuduh selaku pemohon telah diprejudiskan dengan serius sekali gus menjadikan pertuduhan jenayah tersebut sebagai satu penyalahgunaan proses mahkamah,” demikian menurut dokumen yang diperoleh pihak media, minggu lalu.

Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast