KUALA LUMPUR – Keseronokan melakukan aktiviti riadah bertukar tragedi apabila seorang wanita lemas selepas rakit dinaiki terbalik dekat jeram di Sungai Pertak, Kuala Kubu Bharu di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, enam individu berada di dalam rakit itu namun hanya lima rakannya berjaya menyelamatkan diri.
Katanya, bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 3.52 petang, lebih tiga jam selepas wanita terbabit tersangkut di dasar sungai.
“Berdasarkan keterangan rakan mangsa, rakit dinaiki wanita berusia 34 tahun itu bersama lima individu lain terbalik dan mereka terjatuh di jeram pertama.
“Mereka tercampak dari bot kira-kira 12 tengah hari. Mangsa didapati tersangkut di dasar air dan rakannya cuba mengeluarkan mangsa daripada halangan tetapi tidak berjaya.
“Anggota bomba mengeluarkan mangsa sebelum menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu bersama sebuah jentera dikejarkan di tempat kejadian.
Ujarnya lagi, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu. – MalaysiaGazette
















