Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh beramah mesra ketika hadir pada Majlis Perasmian Penutup Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) di Tanjung Bidara, Masjid Tanah. Foto FAREEZ FADZIL, 19 SEPTEMBER 2026.

MELAKA – Kerajaan negeri mahu Pantai Tanjung Bidara diperkasa sebagai destinasi pelancongan pantai dan eko pelancongan luar bandar yang mampu memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kawasan berkenaan mempunyai potensi lebih besar dan tidak seharusnya hanya menjadi lokasi kunjungan orang ramai pada hujung minggu.

Katanya, pembangunan pelancongan di kawasan itu perlu dilaksanakan dengan pendekatan yang menjaga alam sekitar, selain mengangkat produk komuniti dan memberi ruang kepada usahawan tempatan.

“Saya berharap pihak Kementerian dapat melihat potensi yang ada di kawasan ini, khususnya Pantai Tanjung Bidara, untuk terus diperkasa sebagai salah satu destinasi pelancongan pantai dan eko pelancongan luar bandar yang menarik di Melaka.

“Penganjuran Pesta Pantai Tanjung Bidara dan Festival Seni Selat dan Sungai Melaka 2026 turut menjadi platform memperkenalkan kawasan berkenaan kepada lebih ramai pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program WRUR Peringkat Negeri Melaka dan Pesta Pantai Tanjung Bidara serta Perasmian Festival Seni Selat dan Sungai Melaka 2026 di Lapangan Airstrip Tanjung Bidara di sini malam ini.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, sepanjang penganjuran pesta dan festival itu, kerajaan negeri menyasarkan kira-kira 40,000 pengunjung hadir, sekali gus memberi peluang ekonomi kepada peniaga, pengusaha makanan, penyedia penginapan dan komuniti setempat.

“Kita tidak mahu Pantai Tanjung Bidara sekadar menjadi tempat orang datang hujung minggu kerana potensinya lebih besar daripada itu.

“Kalau dapat kita bangunkan dengan pendekatan yang betul, menjaga alam sekitar, mengangkat produk komuniti dan melibatkan usahawan tempatan, saya percaya manfaatnya akan terus sampai kepada rakyat di kawasan ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, Festival Seni Selat Melaka edisi keempat pula menghimpunkan 350 penggiat seni dan hampir 1,000 sukarelawan penari dengan lebih 50 program serta pengisian seni. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here