ALOR GAJAH – Sebanyak 5,170 aduan rakyat diterima sepanjang pelaksanaan program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) di seluruh Melaka, dengan 3,789 atau 73.29 peratus daripadanya telah diselesaikan sejak diperkenalkan dua tahun lalu.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, baki aduan yang masih dalam tindakan akan terus diberi perhatian supaya isu yang dibangkitkan rakyat tidak terhenti selepas program WRUR berakhir.
Katanya, pendekatan turun padang secara langsung membolehkan kerajaan mengenal pasti pelbagai permasalahan masyarakat dan mengambil tindakan melalui jabatan serta agensi berkaitan.
“Paling utama, sepanjang WRUR, sebanyak 5,170 aduan rakyat telah diterima dan aripada jumlah tersebut, sebanyak 3,789 atau 73.29 peratus telah pun kita selesaikan.
“Alhamdulillah, setelah kesemua 28 DUN selesai kita jelajahi, hasilnya sebanyak 1,981 program dan aktiviti dilaksanakan, dengan merekodkan hampir 100 ribu kehadiran rakyat sepanjang pelaksanaan WRUR.
“Bagi aduan yang berbaki, insya-Allah, semuanya akan diberi perhatian dan diselesaikan dengan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program WRUR Peringkat Negeri Melaka dan Pesta Pantai Tanjung Bidara serta Perasmian Festival Seni Selat dan Sungai Melaka 2026 di Lapangan Airstrip Tanjung Bidara di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Surrendren Sathasivam.
Turut sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan.
Mengulas lanjut, Ab Rauf yang juga ADUN Tanjung Bidara berkata, penerimaan aduan secara bersemuka menerusi WRUR juga memberi peluang kepada kerajaan memahami isu yang dihadapi rakyat berdasarkan keadaan sebenar di lapangan, berbanding hanya bergantung kepada saluran pentadbiran biasa.
“Di sebalik ribuan pengisian sepanjang WRUR, seramai 2,300 penerima
telah disantuni secara langsung menerusi bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, melibatkan nilai keseluruhan RM345 ribu.
“Pendekatan ini selari dengan usaha kerajaan merapatkan hubungan antara pentadbiran negeri dengan rakyat menerusi gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa).
“Kalau tembok birokrasi menyukarkan rakyat, maka menjadi tugas kerajaan untuk merobohkannya dan membuka jalan penyelesaian tuntas,” katanya. – MalaysiaGazette
















