Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengibarkan bendera Bersatu ketika hadir pada Majlis Sambutan Ulang tahun ke-10 Bersatu di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 19 SEPTEMBER 2026.

PETALING JAYA – “Bukan pilihan Bersatu, (ia) pilihan Pas”.

Itu tegas Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengulas keputusan Pas menamatkan kerjasama dengan parti itu ketika Bersatu pada masa sama menunggu keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berhubung aduan membabitkan lapan perkara yang didakwa dilanggar pimpinan Perikatan Nasional (PN).

Muhyiddin berkata, keputusan untuk tidak lagi bekerjasama dengan Pas bukan dibuat oleh Bersatu sebaliknya merupakan pendirian yang dipilih Pas.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sambutan 10 tahun penubuhan Bersatu di sini malam ini.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Radzi Jidin dan Datuk Seri Faizal Azumu serta Mohamed Azmin.

Mengulas aduan terhadap PN pula, Muhyiddin berkata, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah dipanggil ROS untuk memberikan penjelasan berhubung perkara berkenaan.

Katanya, Bersatu mengemukakan lapan perkara pokok yang didakwa telah dilanggar dan tidak dihormati pimpinan PN selain mendakwa perkara itu berlaku berulang kali.

“Kita telah kemukakan lapan perkara pokok yang bagi pihak kita telah pun dilanggar dan tak dihormati oleh pimpinan Perikatan Nasional yang ada sekarang.

“Jadi, sebab itu kita buat aduan dan daripada pertemuan itu kita dapati bahawa peringkat Pendaftar Pertubuhan mengambil berat. Ia berlaku berulang kali dan ini satu perkara yang tak boleh kita ambil mudah,” katanya.

Muhyiddin berkata, Bersatu menyerahkan kepada ROS untuk menentukan tindakan selanjutnya dan berharap keputusan dapat dibuat dalam tempoh terdekat.

“Kita serahkan kepada kebijaksanaan ROS dan diharap dapat membuat keputusan dalam tempoh yang terdekat inilah,” katanya.

Hubungan Bersatu dan Pas semakin retak selepas Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada penghujung Ogos lalu berkata ruang untuk berdamai antara kedua-dua parti itu sudah tertutup.

Abdul Hadi berkata, pendirian itu susulan keputusan Bersatu bertanding menentang PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos lalu.

Pendirian itu turut disusuli kenyataan pemimpin Bersatu mengenai kemungkinan parti berkenaan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) menjelang PRN Melaka.

Sementara itu, Bersatu sebelum ini mendakwa tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN pada 16 Julai lalu, sekali gus mendakwa haknya untuk hadir dan memberikan pandangan berdasarkan Fasal 7 Perlembagaan PN dinafikan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here