BATU KAWAN – Pengekalan subsidi kepenggunaan serta bantuan tunai dan sosial kepada rakyat menjadi antara perkara yang diberi perhatian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam Belanjawan 2027.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya berharap perkara berkenaan terus diberi pertimbangan oleh Kementerian Kewangan (MOF) dengan mengambil kira cabaran peningkatan harga minyak dunia dan tekanan kos sara hidup yang dipengaruhi perkembangan geopolitik di Asia Barat.
Beliau berkata, antara subsidi dan bantuan yang diberi perhatian termasuk subsidi bahan api melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), subsidi minyak masak serta program penyeragaman harga barang di Sabah dan Sarawak.
“Paling penting bagi kita sekarang dalam keadaan cabaran yang begitu besar, permintaan kita kepada MOF adalah supaya subsidi kepenggunaan, subsidi bantuan tunai dan bantuan sosial itu dapat kita pertahankan.
“Kita meminta kerajaan dapat mempertahankan perkara-perkara asas, kerana Perdana Menteri pun telah menyebut bahawa antara komponen paling penting dalam belanjawan kali ini juga melihat kepada isu kos sara hidup,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sidang media sebelum menyempurnakan Majlis Perasmian Festival Jom Malaysia di Stadium Negeri di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Armizan berkata, reformasi penyasaran subsidi yang dilaksanakan kerajaan membantu memastikan sokongan kepada rakyat dapat diteruskan walaupun kos subsidi semakin meningkat.
Katanya, KPDN juga berharap bantuan tunai termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dapat dikekalkan dalam Belanjawan 2027.
Menurutnya, peningkatan kos subsidi bahan api turut memberi tekanan kepada ruang fiskal kerajaan dan menjadi antara cabaran utama dalam penyediaan belanjawan berkenaan.
“Dalam Belanjawan 2026, sebenarnya peruntukan untuk subsidi bahan api hanyalah RM15 bilion tetapi sekarang ini hampir mencecah RM40 bilion ruang fiskal yang perlu digunakan untuk subsidi bahan api.
“Pertambahan hampir mencecah tiga kali ganda. Jadi, itu antara cabarannya,” katanya.
Armizan berkata, melalui pelaksanaan penyasaran subsidi, kerajaan masih dapat menyediakan kuota asas bahan api pada harga lebih rendah kepada rakyat meskipun harga minyak dunia mengalami turun naik.
“Mekanisme sama juga membolehkan subsidi minyak masak paket diteruskan walaupun harga minyak sawit mentah (CPO) ketika ini berada pada paras tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette
















