Tuan Ibrahim Tuan Man

SHAH ALAM – Pas menjangkakan kira-kira 300,000 akan hadir pada perhimpunan besar-besaran penerangan mengenai Akta 355 di Dataran Merdeka pada 18 Februari ini.

Menurut Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Man Tuan Ibrahim, Pas sebagai penganjur utama memilih Dataran Merdeka sebagai lokasi perhimpunan itu kerana ia boleh menampung sejumlah besar pengunjung.

Beliau turut memberitahu, antara yang telah menyatakan persetujuan untuk hadir ialah wakil pertubuhan dan badan bukan kerajaan (NGO), parti politik, Majlis Peguam Muslim Malaysia, Majlis Profesional Muslim Malaysia, Pertubuhan Pembela Islam dan Majlis Amal Islami Malaysia.

“Kira merasakan perlunya penerangan mengenai Rang Undang-Undang (RUU 355) ini dijelaskan kepada umum melalui perhimpunan kerana ramai antara mereka masih keliru mengenainya.

“Mereka bertambah keliru dengan tindakan pihak tertentu yang cuba untuk menggagalkan usaha Pas memperkasakan Islam melalui perundangan,” katanya pada sidang media di Shah Alam, hari ini.

Ceramah penerangan bermula jam 3 petang hingga 11 malam.

Pada Jun dan November lalu, Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan usul persendirian untuk meminda Akta 355 di Dewan Rakyat dan perbahasan dijangka pada sidang Parlimen Mac ini. – MalaysiaGazette