Junz Wong.

Parti DAP tidak mampu jadi kerajaan di Sabah menjadi punca Junz Wong keluar dan menyertai Parti Warisan pimpinan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Ahli Dewan Undangan Negeri Likas itu dilaporkan berkata, jika menjadi wakil rakyat DAP di Sabah seseorang yang berhormat itu hanya membantu rakyat dengan air liur sahaja.

Seorang orang kuat parti Warisan, Ismaily Bungsu dalam satu kenyataannya hari ini melihat Junz seorang yang bercakap menggunakan fakta dan kajian.

Memetik kata-kata Junz, Ismaily menulis; “Kalau sekadar mahu jadi YB pembangkang dan bantu rakyat dengan air liur sahaja itu dalam DAP bolehlah tetapi apa yang dapat disumbangkan kepada rakyat Sabah keseluruhannya?

“Rakyat Sabah bukan mahu air liur dan bukan mahu banyak cakap tetapi rakyat Sabah mahu jalan, air paip, sekolah, pendidikan dan Sabah harus dikeluarkan dari lokasi miskin sekali di Malaysia,” katanya.

Menurut Ismaily, Junz berkata, seorang wakil rakyat memang hanya bergaji tetapi ia tidak cukup kerana kerajaan sedia ada menguasai kewangan negeri.

“Jadi apa yang dikatakan oleh YB Junz yang ia bukan mahu jadi YB pembangkang tetapi mahu YB dalam kerajaan yang boleh membantu rakyat Sabah,” katanya.

Ismaily bagaimanapun hormat DAP kerana komited berjuang di Sabah tetapi tidak ada guna parti itu mahu menjadi pembangkang selama-lamanya di Negeri Di Bawah Bayu itu.

“Pandangan saya DAP atau PH (Pakatan Harapan) bolehlah terus berjuang untuk menangi lebih 112 kerusi parlimen di peringkat nasional nanti dan Sabah ini biarlah Parti Warisan dan parti yang difikirkan ikhlas sama berjuang tandingi 73 kerusi DUN yang ada.

“Sementara 25 kerusi parlimen nanti bolehlah dibincang sama dan ini memang sesuatu yang saya kira menarik jika dijadikan kenyataan untuk menumbangkan BN di Sabah,” katanya lagi.

Nampaknya misteri keluarnya wakil rakyat DAP dan PKR Sabah sudah terjawab.

Pembangkang di negeri itu melihat parti pembangkang yang datang dari Semenanjung tidak akan memenangi hati rakyat di negeri itu pada pilihan raya umum akan datang.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast