KUALA LUMPUR – Purata harga minyak sawit mentah (MSM) pada tahun ini dijangka naik kepada RM2,700 hingga RM2,800 setiap tan.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, pengeluaran pada tahun ini juga diramal meningkat.
“Purata MSM pada tahun lalu adalah RM2,600 setiap tan, ia turun naik. Daripada RM2,200 pada bulan Januari dan berakhir pada bulan Disember kepada RM3,200.
“Harga tahun lalu itu lebih tinggi berbanding RM2,300 pada tahun 2015,” katanya dalam majlis Seminar dan Dialog Reach & Remind Friends.
Pergerakan ketara harga MSM itu dipacu oleh peningkatan permintaan daripada negara-negara pengguna.
Siew Keong berkata, kerajaan melalui Majlis Minyak Sawit Malaysia sedang meningkatkan usaha pemasaran minyak sawit untuk memastikan permintaan yang mampan dalam menghadapi persaingan minyak soya dan minyak biji sawi dan pengeluar minyak sawit lain.
Malaysia juga akan menembusi pasaran Iran tahun ini, selain Amerika Selatan dan negera-negara bukan Kesatuan Eropah, kata Siew Keong sambil menambah Asia Barat adalah pasaran berpotensi besar. – MalaysiaGazette