Datuk Seri Idris Haron

“Tidak ada sebarang serbuan, tidak ada tangkapan atau rampasan berpeti-peti seperti yang dibayangkan,”

Itu penjelasan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini bagi mengulas kedatangan penguat kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke pejabatnya baru-baru ini.

Menurutnya, kehadiran SPRM bagi merakam keterangannya dilakukan secara profesional dan beretika dan beliau berpuas hati.

Justeru, dakwaan sesetengah pihak terutama pembangkang yang pejabatnya di Komplek Seri Negeri, Ayer Keroh di sini diserbu SPRM tidak benar.

SPRM, katanya memaklumkan keperluan bertemu dengannya lebih awal dan beliau sendiri menetapkan tarikhnya.

“Apabila ditanya mengenai tujuan lawatan itu, ia lebih kepada menyempurnakan siasatan oleh SPRM ke atas beberapa pegawai di peringkat kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan di Melaka,” ujarnya yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Melaka.

Bagaimanapun Idris enggan mengulas lanjut mengenai butir perbincangannya dengan pihak SPRM.

Idris juga menyatakan dirinya tidak pernah menghalang mana-mana pihak berkuasa untuk melaksanakan tugas termasuk menahan dan menyiasat kakitangan awam yang disyaki terlibat dalam rasuah di negeri itu.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast