Elizabeth Wong

KUALA LUMPUR – Exco Selangor, Elizabeth Wong berkata, perolehan jualan beg plastik yang dikenakan caj 20 sen satu berkuatkuasa 1 Januari lalu tidak masuk ke kantung kerajaan negeri, sebaliknya jadi sumber pendapatan peniaga.

Baiknya hati kerajaan negeri membantu peniaga, terutama tauke besar pasar raya dan pemilik pusat beli belah, dengan menjadikan beg plastik sebagai produk terbaharu yang wajib dijual.

Setelah hampir dua minggu penjualan beg plastik menjadi isu yang membebankan pengguna, baru semalam Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna negeri, buka mulut.

Itu pun ketika tauke pasar raya dan pemilik pusat beli belah sudah mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit, dan berterusan memperolehi jutaan ringgit lagi, selagi kerajaan negeri tidak mengeluarkan arahan menghentikan penjualan.

Ketika Sistem Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) diperkenalkan, harga petrol dan diesel naik serta barangan keperluan harian melambung tinggi, kerajaan Selangor mengecam dan mengkritik Kerajaan Persekutuan kerana membebankan rakyat.

Tetapi, ketika rakyat sudah terbeban dengan kenaikan itu semua, kerajaan Selangor yang kononnya kerajaan berkebajikan, menambahkan lagi beban masyarakat dengan penjualan beg plastik.

Betul, nilai 20 sen agak kecil berbanding kadar GST, kenaikan petrol 20 sen seliter dan ada sesetengah tempat, teh susu mencanak sehingga RM3 secawan, tetapi setiap pengguna yang membeli di pasar raya atau pusat beli belah memerlukan sekurang-kurangnya tiga hingga lima beg plastik.

Kalau tiga helai beg plastik, pengguna perlu tambah 60 sen. Bagaimana kalau lima keeping beg plastik? Tidakkah itu sudah RM1?

RM1 dicampur dengan GST dan dicampur pula dengan kos petrol untuk ke destinasi pusat beli belah dan pasar raya, sudah tentu ia membebankan.

Bagaimanapun, pengguna tidak ada pilihan. Mereka terpaksa mengeluarkan perbelanjaan lebih untuk mendapatkan barang keperluan.

Di mana kesungguhan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membela rakyat, kalau mereka juga turut mengambil kesempatan itu?

Ketika Pakatan Harapan (PH) cuba menjadi hero rakyat, lantang menegur dan pelbagai slogan dizahirkan untuk membela rakyat, kenapa beg plastik pun hendak dijual?

Kononnya hendak menyelamatkan bumi dan alam sekitar dari pencemaran beg plastik dan polisterin, tetapi usaha dilakukan kerajaan negeri itu bagaikan kucing menimbus najis. Najis terlindung, tapi baunya tetap terhidu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Comments are closed.