Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin (kiri) melawat kiosk Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS) selepas merasmikan karnival penutupan Karnival Kewangan di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

KUALA LUMPUR – Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) terbukti satu polisi kerajaan yang baik bagi rakyat, justeru ‘perang mulut’ mengenainya tidak perlu lagi berpanjangan, kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Katanya, beliau bersyukur fakta berkenaan akhirnya turut diakui bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebelum ini pernah dilapor melabelkannya sebagai rasuah.

“Akhirnya kita nampak BR1M dasar yang baik,” katanya kepada pemberita selepas menutup Karnival Kewangan anjuran Bank Negara yang turut dihadiri Gabenor Bank Negara, Datuk Muhammad Ibrahim, di sini, hari Ahad.

Khairi yang juga Menteri Belia dan Sukan mengulas ucapan Dr Mahathir semalam yang dilapor memberi bayangan BR1M akan diteruskan jika pembangkang memenangi PRU-14.

Ditanya sekiranya Dr Mahathir boleh dilabelkan sebagai melakukan pusingan ‘U’ dengan kenyataan terbaharunya, Khairy enggan menjawab kerana ini menurutnya hanya akan menjadi satu polemik yang akhirnya mencemarkan BR1M sebagai satu dasar yang baik.

“Pendekatan (BRIM) ini sebenarnya diamalkan di banyak negara, malah ini adalah satu pendekatan yang dicadang Bank Negara sendiri.

“Bagi saya mewakili kerajaan, ini adalah satu polisi yang akan kita teruskan, kerana ini adalah polisi yang terbukti berjaya meringankan beban dan bantu rakyat untuk tampung kehidupan mereka,” katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast