Taklimat mengenai cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) di Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 16 JANUARI 2017. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Media, perlu bersama dengan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dalam memberi penerangan kepada rakyat mengenai cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).

Felo Utama Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik (Syarak) IKIM, Prof. Dr. Shamrahayu Abd. Aziz berkata, media adalah pengantara paling dekat dengan masyarakat yang boleh memainkan peranan menjelaskan secara mendalam usaha kerajaan untuk menambahbaik sistem perundangan Islam.

Beliau yang turut mengendalikan slot Islam dan Perundangan di IKIMfm menjelaskan, penambahbaikan itu tidak terkeluar dari Perlembagaan Negara terutama yang berkaitan dengan orang Islam.

Shamrahayu Abd. Aziz
Shamrahayu Abd. Aziz

“Hari ini, IKIM memberi penerangan secara akademik mengenai Akta 355 kepada pengamal media supaya mereka dapat menghasilkan pengulasan yang lebih elok, mudah difahami dan tepat kepada masyarakat.

“Sebelum media mengulas, kita mahu mereka faham dengan penambahbaikan perundangan Islam ini terlebih dahulu,” katanya pada Taklimat Khas Penerangan Usul Akta Ruu 355 di Dewan Besar IKIM di sini, hari ini.

Antara yang turut terlibat dengan taklimat itu ialah Pengerusi Sekretariat UMMAT, Aminuddin Yahaya; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Prof. Datuk Mohamad Naser Desa; Ketua Pengarah IKIM, Prof. Datuk Dr. Azizan Baharuddin; dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Dr. Yusri Mohamad.

Menurut Dr. Shamrahayu, Akta 355 bukan perkara baharu, tetapi telah wujud sejak 1965 dan disemak semula 1988.

“Ada banyak puak bukan Islam khasnya yang menolak kewujudan dan masih memainkan isu ini ikut kepentingan mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Prof. Mohamad Naser menegur pihak tertentu yang sengaja tidak mahu menerima Islam sebagai Agama Persekutuan.

Mohamad Naser Desa
Mohamad Naser Desa

Ujar beliau, lebih menyedihkan, pihak berkenaan menganggap Islam sekadar agama rasmi yang lebih mirip kepada sekular, sedangkan tidak ada langsung perkataan itu dalam Perlembagaan.

“Terlalu banyak sangat agenda Islamaphorbia, liberal, sekularisasi dan lain-lain telah ditengahkan oleh banyak pihak berkepentingan,” kata beliau.

Dr. Yusri pula menyatakan, pihaknya tidak ada pilihan, tetapi tetap meneruskan usaha mempertingkatkan penghayatan agama kepada umat kerana itu adalah tanggungjawabnya sebagai orang Islam dengan Allah.

Ujarnya, kestabilan orang Islam sebagai bangsa teras adalah baik untuk dan mendapat faedah bersama.

Beliau juga berkata, pindaan Akta 355 bukan bermakna hendak menerapkan fahaman baharu dalam Islam.

“Bukan agama Islam yang baharu hendak ditengahkan dalam Akta 355,” katanya menjawab soalan dari wartawan.

Seorang lagi panel, Aminuddin turut meminta kerjasama pihak media supaya dapat memberi penerangan dan kefahaman yang adil serta menyeluruh kepada rakyat Islam negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast