SHAH ALAM – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar mengucapkan takziah kepada keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Kamarol Zaki Abdul Malek yang meninggal dunia pagi ini.
Noh yang ketika ini berada di Mekah mengerjakan ibadat umrah berkata, UMNO negeri itu kehilangan seorang pemimpin yang banyak jasanya kepada rakyat.
“Takziah kepada seluruh ahli keluarga dan kepimpinan UMNO Sabak Bernam,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Allahyarham Kamarol Zaki, ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh Pembantu Khasnya, Saufaat Salimin kira-kira jam 8.30 pagi ini, di ruang tamu rumahnya di Jalan Haji Jabar, Sungai Air tawar, Sabak Bernam.
Jenazah kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah, Sabak Bernam bagi proses bedah siasat dan dijangka dikebumikan petang ini.
Allahyarham yang sepatutnya menghadiri Program Sedetik Bersamamu di Kampung Sungai Pulai dan Kampung Sekendi pagi ini, meninggalkan seorang balu, Rossimah Abbas yang juga guru dan empat orang anak.
Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi berkata, Kamarol Zaki yang lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Zaki adalah seorang pemimpin yang lemah lembut dan mempunyai sifat keperibadian tinggi.
Beliau yang terkejut dengan berita kematian rakan baiknya itu mengharapkan keluarga Allahyarham tabah menerima dugaan kehilangan orang tersayang.
ADUN Dengkil, Shahrum Mohd Sharif pula berkata, Allahyarham adalah seorang sahabat yang baik dan tidak pernah merunggut walaupun berdepan dengan masalah rakyat.
“Sudah tentu UMNO dan BN negeri kehilangan seorang pemimpin berjiwa rakyat dan banyak menaikkan imej parti.
“Sepanjang empat tahun sebagai wakil rakyat, dia telah memberikan perkhidmatan yang cukup cemerlang kepada rakyat di kawasannya. Ini diakui sendiri oleh penduduk DUN Sungai Air Tawar,” katanya. – MalaysiaGazette