KUALA LUMPUR – Selepas seminggu mengadakan pertemuan dengan Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad, Ahli Majlis Tertinggi parti itu, Anina Saduddin akhirnya buka mulut.
Sebelum ini, beliau memberitahu media agar memberinya masa untuk menulis ‘dari hati’ kenyataan mengenai kedudukannya dalam PPBM selepas selesai perbincangannya dengan Dr. Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, Isnin lalu.
Dalam kenyataan kepada media semalam, Anina tidak dapat menerima jawapan daripada presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa, penggugurannya dari jawatan Ketua Srikandi ada kaitan dengan prestasi.
Katanya, beliau telah mengangkat sumpah sebagai ketua sayap PPBM itu pada 2 November lalu dan dua minggu selepas itu ada menyerahkan senarai barisan kepimpinan Srikandi Pusat untuk dipertimbangkan oleh Muhyiddin.
Bagaimanapun, ujarnya, presiden tidak melayan senarai barisan kepimpinan yang dicadangkan itu, sebaliknya menafikan beliau sebagai Ketua Srikandi PPBM.
“Sebelum PPBM ditubuhkan lagi saya bersama beberapa pemimpin bekerja kuat menggerakkan parti ini sehingga mendapat kelulusan penubuhannya. Semua itu saya gunakan kudrat sendiri, wang ringgit sendiri tanpa minta atau guna duit parti.
“Dalam tempoh 100 hari PPBM ditubuhkan, saya mengatur pertemuan dengan semua srikandi di seluruh negara, merancang dan merangka strategi bagaimana untuk menarik sokongan orang ramai menyertai parti ini,” katanya di sini.
Anina yang juga bekas ahli UMNO Cawangan Langkawi mengesahkan beliau dipecat sebagai Ketua Srikandi pada akhir Disember lalu dan lebih menyedihkan keputusan itu disahkan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh.
Selepas itu, Ketua Penerangan PPBM Pusat, Datuk Kamaruddin Md. Nor juga turut mendakwa, Anina tidak pernah menjadi Ketua Srikandi sebaliknya dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi parti sahaja.
Mengulas lanjut dalam kenyataan itu, Anina berkata, Mukhriz memaklumkan kepadanya bahawa jawatan Ketua Srikandi tidak sesuai dipegang olehnya kerana isu peribadi yang boleh menjejaskan imej parti.
“Saya berulang kali beritahu pucuk pimpinan parti, kalau ada bukti sahih dan kukuh dengan dakwaan itu, bukan parti yang pecat saya, saya akan terlebih dahulu meletakkan jawatan,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan ucapan Muhyiddin dan Mukhriz di khalayak sebelum ini yang memperkenalkan dirinya sebagai Ketua Srikandi PPBM.
“Setiap kali hadir program bersama penyokong dan orang ramai, Muhyiddin dan Mukhriz sebut dalam ucapan permulaannya bahawa saya adalah Ketua Srikandi. Tetapi sekarang kenapa mereka menafikan,” katanya kesal. – MalaysiaGazette