SHAH ALAM – Seorang Ketua Jabatan dalam Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang didapati bertanggungjawab mengurus pertunjukan bunga api di Fiesta Gegar Klang baru-baru ini, bakal berdepan tindakan.
Exco Kerajaan Tempatan Negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah berkata, pegawai kanan itu akan dikenakan tindakan berdasarkan Peraturan-peraturan Pegawai Awam Negeri Selangor (Kelakuan dan Tatatertib) 1995 (SEL.P.U.7).
Antara tindakan itu, kata beliau, sama ada amaran, denda, lucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat dan buang kerja.
“Setelah meneliti hasil siasatan MPK, kerajaan negeri akan mengikut proses dan prosedur dalam mengambil tindakan ke atas pegawai bertanggungjawab.
“Namun, kita berpandangan pegawai tersebut perlu dihadapkan ke Lembaga Tatatertib Majlis Perbandaran Klang (MPK) dengan dikenakan tindakan berdasarkan kepada Peraturan-peraturan Pegawai Awam Negeri Selangor (Kelakuan dan Tatatertib) 1995 (SEL.P.U.7),” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Dalam kejadian sambutan tahun baharu itu, 10 pengunjung melecur selepas terkena letupan bunga api pada kemuncak acara Fiesta Gegar Klang 2016 di Kompleks Sukan Pandamaran, Klang.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, keadaan menjadi kelam kabut selepas bunga api yang digunakan untuk pertunjukan meletup sebelum sempat berada di udara sehingga terkena penonton.
Menurut Ean Yong, bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab dan punca letupan itu, MPK telah menubuhkan Jawatankuasa Penyiasatan dengan melantik empat pegawai dalaman untuk menyiasat dan mendapatkan keterangan lanjut berkaitan pertunjukan bunga api.
Siasatan itu, katanya, merangkumi kelulusan program, perbelanjaan program, proses semakan dokumen dan menyediakan laporan siasatan.
“Hasil siasatan jawatankuasa itu, mendapati seorang ketua jabatan telah bertanggungjawab menguruskan pertunjukan bunga api tersebut walaupun tidak diputuskan dalam mana-mana mesyuarat di peringkat MPK.
“Kita memandang serius kejadian berlaku yang menyebabkan kemalangan kepada orang awam akibat dari kecuaian penjawat awam. Kita harap semua pelaksanaan program dan aktiviti di peringkat negeri, daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu mengambil kira kepentingan dan keselamatan orang awam dalam semua aspek,” katanya. – MalaysiaGazette