Edward Snowden

MOSCOW – Bekas kontraktor Agensi Keselamatan Nasional (National Security Agency-NSA), Edward Snowden layak daripada segi undang-undang menjadi warga negara Rusia, kata peguamnya selepas pengumuman status suaka beliau dilanjutkan selama tiga tahun lagi.

Pada asasnya, kini dia mempunyai alasan memohon warga negara (Rusia) pada masa depan, undang-undang menyatakan seseorang perlu menghabiskan masa tidak kurang daripada lima tahun di wilayah Rusia (untuk diberikan taraf warga negara),” kata peguam Snowden, Anatoly Kucherena kepada agensi berita, RIA Novosti.

“Ini bermakna jika dia mengambil keputusan (untuk memohon warga negara) pada masa depan, ia mungkin sah. Kini dia telah menetap di Rusia hampir empat tahun, tidak melanggar sebarang undang-undang dan tiada dakwaan (undang-undang) terhadap beliau – ia merupakan alasan permit permastautinnya disambung,” terang Kucherena.

Dalam satu kenyataan kepada Interfax, Kucherena berharap pentadbiran Amerika Syarikat (AS) akan datang yang dipimpin Donald Trump mengubah sikap Washington terhadap bekas pemberi maklumat itu.

“Saya harap pentadbiran bakal Presiden, Donald Trump akan lebih sensitif dan objektif menimbang isu Snowden dan akan mengubah sikap pegawai pihak berkuasa mengenai perkara ini,” kata Kucherena sambil menambah dalam usaha melakukannya mereka hanya perlu mendengar cerita Snowden dan menyedari bahawa dia tidak melakukan sebarang jenayah,”.

Menyentuh spekulasi bekas pemangku pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), Michael Morell bahawa Snowden akan dihantar pulang ke AS sebagai ‘hadiah’ kepada Trump, Kucherena berkata, kemungkinannya sangat kecil dan mencadangkan hadiah angkat sumpah (Trump sebagai Presiden) perlu datang daripada agensi AS itu sendiri.

“Mungkin hadiah yang lebih baik untuk Trump adalah penyesalan bagi pihak bekas anggota dan ketua CIA, NSA dan bekas peguam negara AS, mereka perlu keluar dan menerangkan kepada rakyat Amerika apa yang telah mereka lakukan dan bagaimana mereka memantau rakyat dan mengapa mereka mengganggu kehidupan peribadi mereka (rakyat AS),” kata Kucherena kepada RT dalam temu bual berasingan. – MalaysiaGazette