Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, Muhammad Kifli Ma Hassan menunjukkan lori yang membawa lebih muatan yang ditahan dalam sidang akhbar kerjasama bersama PDRM Membanteras Isu Pemilik dan Pemandu Lori Samseng di Stesen Penguatkuasa JPJ Semenyih. Foto MUHAIMIN MARWAN, 28 APRIL 2025

SEMENYIH – Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) telah menahan dua pemandu lori dan seorang pemandu Toyota Vellfire yang dipercayai mewakili pemilik sebuah syarikat di Persiaran Perdana, Putrajaya pada 12 April lalu.

Pengarah Kanan Penguatkuasaan Undang-Undang JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, ketiga-tiga individu berusia lingkungan 40-an itu ditahan dalam operasi penguatkuasaan selepas lori-lori tersebut dikesan membawa muatan berlebihan sehingga 88 peratus dan 90 peratus.

“Pemeriksaan mendapati kedua-dua lori yang diambil dari sebuah kuari di Dengkil untuk dihantar ke kawasan pembinaan di Kajang membawa muatan hampir dua kali ganda daripada had dibenarkan.

“Ini bukan sahaja menyebabkan risiko kerosakan teruk pada jalan raya tetapi juga membahayakan keselamatan pengguna lain,” katanya pada sidang media di Stesen Penguatkuasaan JPJ Semenyih hari ini.

Menurut Muhammad Kifli, selepas lori berkenaan ditahan, pemilik syarikat dipercayai mengarahkan lori tersebut dirosakkan bagi menghalang JPJ daripada mengalihkan kenderaan tersebut.

Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia menunjukkan lori yang membawa lebih muatan yang ditahan dalam sidang akhbar kerjasama bersama PDRM Membanteras Isu Pemilik dan Pemandu Lori Samseng di Stesen Penguatkuasa JPJ Semenyih. Foto MUHAIMIN MARWAN, 28 APRIL 2025

“Kami terpaksa memanggil mekanik untuk membaiki lori namun mekanik pula menerima ugutan agar tidak membaikinya. Akibat sabotaj ini, kami terpaksa berkawal di lokasi selama tiga hari sebelum pemilik dan pemandu lori munculkan diri mereka,” katanya.

Beliau mendedahkan sepanjang tempoh itu, anggota JPJ berdepan dengan pelbagai provokasi termasuk kehadiran kumpulan samseng atau dikenali Tonto yang dipercayai diupah oleh pemilik lori untuk menggagalkan operasi.

“Mula-mula pemandu dan pemilik datang, kemudian kumpulan Tonto pula muncul pada waktu malam. Ada juga cubaan melarikan kenderaan Vellfire yang ketika itu ditahan pihak berkuasa,” jelasnya.

Setakat ini, tiga laporan polis telah dibuat membabitkan kesalahan menghalang penjawat awam, mengganggu mekanik yang dipanggil membaiki lori dan cubaan melarikan kenderaan yang ditahan.

Katanya, kertas siasatan kini dalam proses semakan di pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan pendakwaan lanjut.

Manakala kedua-dua lori tersebut telah dibawa ke Stesen Penguat Kuasa JPJ Semenyih di sini untuk tindakan lanjut.

Muhammad Kifli turut berkongsi  penguat kuasanya sebelum ini menghadapi dua insiden provokasi lain melibatkan tentangan daripada samseng dan tonto.

Kejadian pertama berlaku di Rawang dekat sini apabila lapan tonto mengepung pegawai JPJ ketika mereka menjalankan operasi dipercayai atas arahan pemilik syarikat lori.

Manakala insiden lain melibatkan pemandu lori warga asing yang cuba melarikan diri.

“Dalam satu kes, pemandu lori warga asing berhenti dan kemudian diambil lari oleh pihak tonto. Satu lagi kes di Stesen Penguatkuasaan JPJ Gombak membabitkan seorang pemandu warga asing yang membawa bahan terlarang iaitu minuman keras tanpa lesen sah selain memandu dengan pasport tamat tempoh dan tiada lesen memandu,” tambahnya.

Beliau menegaskan, JPJ akan terus memperketatkan operasi penguatkuasaan terutama terhadap kenderaan berat yang membawa muatan berlebihan dan kegiatan samseng yang menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Sebagai peringatan, JPJ menegaskan  kegagalan memberikan kerjasama kepada pegawai penguat kuasa khususnya berkaitan arahan untuk menimbang berat kenderaan boleh dikenakan tindakan di bawah subseksyen 234(c) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010).

Ia melibatkan denda tidak melebihi RM200,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan membawa lebih muatan, tindakan boleh diambil di bawah subseksyen 57(3) APAD 2010 yang memperuntukkan denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

Kenderaan terbabit juga boleh disita dan dilucuthak di bawah subseksyen 80(4) akta sama.

Pihaknya tidak akan berkompromi kepada mana-mana pihak yang mengabaikan keselamatan jalan raya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast