KULAI – Polis sedang mengesan pemandu sebuah Perodua Myvi berwarna merah yang memandu melawan arus di Kilometer 3.4 Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kejadian yang berlaku pukul 5 petang itu tular dalam media sosial menerusi rakaman video yang dikongsi pengguna jalan raya.
“Susulan penyebaran video berkenaan, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kulai telah membuka siasatan bagi mengenal pasti pemandu kenderaan terbabit.
“Usaha mengesan pemandu yang masih belum dikenal pasti itu sedang giat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya.
Sehubungan itu, Seng Lee meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohd Ruslan Mohamed di talian 013-3063710. – MalaysiaGazette
















