Home Dunia Mangsa runtuhan Hotel Rigopiano dikhuatiri mati

Mangsa runtuhan Hotel Rigopiano dikhuatiri mati

Pasukan penyelamat meneruskan usaha mengesan mangsa-mangsa yang terperangkap dalam Hotel Rigopiano, Itali. Foto Agensi

ABRUZZO – Pasukan penyelamat telah mengeluarkan dua mayat dari sebuah hotel yang diselubungi oleh runtuhan salji di tengah Itali, ketika pasukan penyelamat semakin terdesak mencari sehingga 35 orangĀ  mangsa yang lain.

Runtuhan salji berlaku akibat gempa bumi menghalang usaha menyelamat mangsa-mangsa yang masih berada di dalam Hotel Rigopiano, di daerah Abruzzo.

Penyelamat berkata, mereka tidak mendengar bunyi di bawah runtuhan manakala anjing pengesan dilaporkan tidak dapat mengesan mangsa-mangsa yang terperangkap.

Dua orang yang berada di luar hotel pada masa runtuhan itu terselamat.

Empat gempa bumi yang berada di atas lima magnitud menggegarkan tengah Itali semalam, dengan gegaran yang berterusan sehingga malam.

Gempa itu turut mengakibatkan bekalan elektrik terputus sementara.

Operasi menyelamat sedang dijalankan di seluruh tengah Itali dan Presiden Suruhanjaya Eropah, Jean-Claude Juncker berkata, Kesatuan Eropah (EU) bersedia untuk membantu.

Mangsa-mangsa di dalam hotel berkenaan dipercayai berkumpul di tingkat bawah hotel spa empat bintang, berhampiran Gunung Gran Sasso sementara menanti bantuan disebabkan gempa bumi.

Seramai 22 orang tetamu dan tujuh kakitangan hotel dilaporkan berada di dalam premis itu tetapi pasukan penyelamat berkata jumlah sebenar adalah seramai 35 orang.

Pasukan penyelamat menerima panggilan mengenai runtuhan itu oleh tetamu yang berada di luar bangunan semasa kejadian. – MalaysiaGazette