Jack Ma

Pengasas Alibaba, Jack Ma percaya pengagihan dana yang tidak betul dan perbelanjaan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) yang besar merupakan punca kejatuhan ekonomi di Amerika Syarikat dan bukannnya disebabkan oleh globalisasi atau negara-negara lain.

Pada awal bulan ini, ahli perniagaan China itu menemui bakal Presiden AS, Donald Trump yang meratapi kehilangan industri dan pekerjaan di AS berikutan penyumberan luar tenaga kerja ke negara-negara seperti Mexico dan China.

Bagaimanapun Ma mempunyai pandangan yang berbeza dengan apa yang berlaku kepada kejatuhan ekonomi AS, lapor RT.

“Pada masa lalu, warga Amerika yang terlibat dalam 13 peperangan telah berbelanja sebanyak AS$40.2 trilion,” kata Ma pada Forum Ekonomi Dunia di Davos.

“Apa yang terjadi jika mereka membelanjakan sebahagian daripada wang itu untuk membina infrastruktur, membantu pekerja kolar putih dan kolar biru? Tidak kira berapa bagus startegi, anda sepatutnya membelanjakan wang kepada rakyat anda sendiri,”.

“Apa yang saya ingin tahu ialah ketika saya masih muda, semua yang saya dengar mengenai Amerika ialah Ford dan Boeing dan syarikat-syarikat pembuatan yang besar.

“Pada 10 hingga 20 tahun lalu, semua yang saya dengar ialah Lembah Silikon dan Wall Street,” katanya.

“Dan apa yang tejadi? Pada tahun 2008 krisis kewangan telah melenyapkan AS$19.2 trilion di AS sahaja selain kehilangan 34 juta pekerjaan di seluruh dunia.

“Oleh itu apa terjadi jika perbelanjaan yang dilakukan kepada Wall Street dan Timur Tengah dibelanjakan kepada negari-negeri di AS dengan membangunkan industri di sana? Ia boleh merubah keadaan,”.

Menurut Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm, AS telah membelanjakan AS$596 bilion, atau 3.3 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar, untuk perbelanjaan ketenteraan pada 2015, lebih tinggi daripada negara-negara lain.

Ma berpendapat, ia merupakan sebahagian daripada penyumbang kehilangan pekerjaan di Rust Belt (merangkumi Tasik-tasik Besar dan sebahagian daripada negeri-negeri di utara) di AS.

“Oleh itu, bukan negara lain yang mencuri pekerjaan daripada anda, ia adalah strategi anda! Anda tidak mengagihkan wang dengan betul,” katanya.

Ma juga berpendapat secara keseluruhan, globalisasi adalah sesuatu yang positif kerana ia memberi banyak manfaat kepada China dan dunia.

Bagaimanapun, ia perlu dipertingkatkan dengan memberi lebih ruang kepada perniagaan kecil berbanding sistem kini yang dikendalikan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), dibangunkan untuk melindungi kepentingan korporat.

“(Globalisasi kendalian) WTO adalah baik tetapi ia direka untuk negara maju dan syarikat besar. Tiada peluang untuk perniagaan kecil. Kami mahu membina Platform Perdagangan Dunia Elektronik Electronic
World Trade Platform) bagi menyokong orang muda dan perniagaan kecil,”.

“Dan satu lagi, WTO adalah sebuah organisasi yang menarik. Apabila anda mengumpulkan 200 pegawai kerajaan dalam sebuah bilik, tanya mereka untuk bersetuju terhadap sesuatu – ia mustahil (berlaku)!

“Saya tidak dapat bayangkan mereke setuju secara bersama terhadap sesuatu. Perniagaan perlu direka oleh ahli perniagaan, oleh itu kami percaya EWTP membolehkan ahli perniagaan duduk bersama-sama, bersetuju terhadap sesuatu, berunding mengenai sesuatu dan mendapat sokongan daripada kerajaan,”.

Ma menubuhkan Alibaba, salah sebuah peruncit dalam talian dan platform perdagangan elektronik terbesar dunia pada 1999.

Menurut Forbes, kekayaan Ma berjumlah AS$27.7 bilion yang menjadikan beliau orang kedua terkaya di China. – MalaysiaGazette