Calon-calon UPSR tekun menjawab soalan peperiksaan. Gambar hiasan

BIARPUN kebanyakan ibu bapa memahami bahawa Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bukanlah pengakhiran perjalanan hidup seseorang pelajar tetapi pencapaian terbaik oleh anak-anak orang lain sering kali menghantui perasaan mereka.

Lantaran itu, tidak dapat tidak, majoriti ibu-ibu khususnya memberi tekanan dalam pelbagai cara, sama ada sedar atau sebaliknya.

Tanpa sedar, harapan dan sasaran yang terlalu tinggi itu menyebabkan anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan mengalami tekanan.

Itulah kisah yang dikongsi oleh seorang Yang Dipertua Persatuan (YDP) Ibu Bapa Guru-Guru (PIBG) dalam taklimat UPSR di sebuah sekolah di Kuala Lumpur baru-baru ini.

YDP PIBG itu berkata, hasil kajian perunding yang dibuat terhadap murid-murid sekolah Tahun 5 pada tahun lalu mendedahkan mereka sudah mula diberi tekanan oleh keluarga terutama ibu untuk mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR pada tahun ini.

“Murid-murid ini mengadu ibu mereka mahu keputusan UPSR jauh lebih baik daripada anak si polan. Si polan itu adalah anak jiran atau keluarga mereka. Bukan seorang, dua murid yang cakap macam ini tetapi majoriti,” katanya di hadapan ibu bapa.

Pada awalnya, ibu bapa yang hadir ketawa tetapi apabila YDP PIBG berkata perkara itu masalah serius menyebabkan dewan sekolah itu senyap.

“Lebih teruk lagi, ada ibu-ibu sudah menetapkan sasaran berapa jumlah A untuk anaknya peroleh nanti. Ini belum masuk tindakan yang dikenakan jika anak gagal.

“Kenapa boleh jadi macam ini, cara tersebut sama sekali salah. Pendekatan ini bukan sahaja tidak membantu tetapi memberi tekanan hebat kepada anak-anak.

“Saya sedih untuk memberitahu bahawa kajian itu mendapati ibu-ibu adalah individu yang memberi banyak tekanan kepada murid-murid sekolah ini berbanding guru. Malah, kajian itu menunjukkan murid-murid tidak ada masalah dengan guru,” katanya kepada taklimat tersebut.

Disebabkan perkara itu, seorang guru sekolah berkenaan berkata, ada dalam kalangan murid-murid lebih suka duduk di sekolah sehingga waktu petang meskipun tidak ada aktiviti yang dilakukan.

“Mereka bukan buat apa pun, sekadar duduk berkumpul dengan kawan-kawan. Gelak, ketawa dan bermain.

“Jadi kerja cikgu pula untuk ‘halau’ mereka balik ke rumah. Itu pun bukan mereka balik tetapi main sorok-sorok dengan kami pula,” ujarnya.

Guru itu berkata, pihak sekolah terpaksa ‘menghalau’ murid-murid balik ke rumah dengan tujuan mereka dapat berehat dan kemudian membuat kerja rumah sebelum mengulangkaji pelajaran pada waktu malam.

“Saya minta ibu-ibu kurangkan stres anak tetapi pada masa sama pantau dan bersama-sama membantu mereka siap sedia menghadapi peperiksaan UPSR pada September ini.

Beliau percaya semua guru yang terlibat dengan murid-murid UPSR akan melakukan terbaik bagi kecemerlangan anak-anak didik mereka dan terpulang kepada ibu bapa memberi sokongan moral.

“Ibu mana yang tidak bimbang tetapi memberi tekanan bukan pilihan terbaik. Ia sebenarnya menjejaskan tumpuan dan melemahkan semangat dan minda anak-anak,” katanya.

YDP PIBG itu turut menegur ibu bapa yang terlalu menekan anak-anak sedangkan mereka juga memerlukan ruang untuk bermain, melakukan hobi dan masa untuk diri sendiri.

“Walaupun mereka bakal menduduki peperiksaan, jangan hadkan kehidupan mereka dengan buku dan tuisyen, mereka bukan robot. Mereka juga perlu bermain, menonton televisyen dan bersama keluarga. – MalaysiaGazette