Ahmad Zahid Hamidi

IPOH- Visa untuk pelajar asing akan dapat dikeluarkan dalam tempoh 14 hari berbanding sebulan ketika ini.

Dalam pada masa yang sama, visa sementara kepada pelajar akan dikeluarkan selepas tapisan keselamatan dilakukan terhadap pemohon sementara menunggu visa diluluskan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan akan mempermudah dan mempercepatkan pengeluaran visa untuk pelajar asing selepas mencapai kata sepakat dalam Mesyuarat Peringkat Tertinggi Mengenai Pengambilan Pelajar Asing pada Khamis lalu.

Kerajaan bagaimanapun tetap tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan.

Katanya, sehingga kini terdapat 4,000 permohonan visa pelajar yang belum diproses disebabkan masalah di peringkat agensi yang menguruskan permohonan visa iaitu Education Malaysia Global Services (EMGS) dan Jabatan Imigresen.

“Justeru, saya sudah mengarahkan 10 pegawai tambahan ditempatkan di Jabatan Imigresen untuk mengatasi masalah ini,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan dan Hadiah Kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Murid Sekolah Rendah Parlimen Bagan Datuk di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Tambah Ahmad Zahid, kerajaan akan mengeluarkan visa sementara pelajar asing untuk jangka masa panjang tetapi pemohon perlu lulus saringan keselamatan menerusi Sistem Saringan Pemeriksaan Penumpang (APSS).

Visa tersebut bakal memudahkan pelajar asing yang ketika ini terpaksa menunggu selama tiga hingga enam bulan.

Menurut Ahmad Zahid, kerajaan juga membuat keputusan membenarkan ibu bapa kepada pelajar asing diberi visa untuk tinggal bersama di Malaysia sebagai penjaga anak mereka kerana ia budaya masyarakat di Asia Barat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast