Ahli-ahli Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF) menunjukkan laporan polis berhubung kegagalan pihak KPF melunaskan bayaran jualan saham kepada sebahagian besar ahli di Balai Polis Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 16 MEI 2025

KUALA LUMPUR – Kemelut bayaran penjualan saham kepada kira-kira 9,000 ahli Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd (KPF) yang tertangguh sejak hampir dua tahun lalu masih menemui jalan buntu.

Malah tiada penyelesaian tuntas dilakukan pengurusan agensi kerajaan itu sehingga kini.

Itu antara luahan 9,000 ahli KPF yang masih setia menunggu bayaran saham dibuat meskipun ada dalam kalangan mereka terpaksa menanti sehingga 20 bulan.

Ahli-ahli Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF), Syed Alwi Syed Shariff bercakap pada sidang media selepas membuat laporan polis berhubung kegagalan pihak KPF melunaskan bayaran jualan saham kepada sebahagian besar ahli di Balai Polis Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 16 MEI 2025

Menurut seorang ahli KPF, Syed Alwi Syed Shariff, warga emas itu melahirkan rasa kesal dengan layanan Lembaga Pengarah KPF yang masih enggan menyelesaikan tunggakan bayaran jualan saham itu yang berlarutan hampir dua tahun.

“Kami terpaksa mengeluarkan belanja yang banyak dari satu tempat ke satu tempat.

“Ini kali keempat setelah kami berkumpul, tetapi layanan yang kami terima amat mendukacitakan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Jalan Tun Razak, di sini, hari ini.

Pada 11 Julai 2024, media melaporkan Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memberi jaminan semua bayaran penjualan saham kepada ahli-ahli KPF yang tertangguh 2023 akan diselesaikan dalam tempoh enam hingga sembilan bulan.

Shabery berkata, penjualan saham ahli KPF itu akan mengambil sedikit masa berikutan aset pelaburan dan modal koperasi tersebut yang kini bernilai lebih RM4 bilion sedang distruktur semula dan akan dicairkan.

Ahli-ahli Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF), Pushpadevi Santanam bercakap pada sidang media selepas membuat laporan polis berhubung kegagalan pihak KPF melunaskan bayaran jualan saham kepada sebahagian besar ahli di Balai Polis Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 16 MEI 2025

Ahli KPF, Pushpadevi Santanam berkata, pihaknya banyak kali menghubungi koperasi agensi kerajaan itu, namun masih tiada jawapan diterima, sama ada bayaran mahupun jaminan.

“Memang sudah lama menunggu pengeluaran duit saham kami yang kami mohon dari 2023 hingga sekarang, tapi tak dilayan, sampai sekarang. Bila kami telefon dan e-mel, tiada jawapan daripada mereka.

“Bila buat perjumpaan, banyak kali bawa berbincang, sampai sekarang tiada apa-apa kata putus,” katanya.

Lebih dikesali, katanya, apabila permohonan itu dibuat dalam kalangan ahli KPF yang mempunyai masalah kesihatan dan memerlukan kewangan untuk membiayai pembedahan.

“Ada yang sudah meninggal dunia, ramai yang menunggu sampai sekarang tiada jawapan.

“Kami amat memerlukan duit ini, ramai antara kami yang tidak bekerja dan sudah bersara, tapi KPF sampai sekarang senyap saja, memang tidak bayar langsung kepada kami,” katanya.

Ahli-ahli Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF), Hasmah Ahmad bercakap pada sidang media selepas membuat laporan polis berhubung kegagalan pihak KPF melunaskan bayaran jualan saham kepada sebahagian besar ahli di Balai Polis Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 16 MEI 2025

Sementara itu, seorang ibu tunggal, Hasmah Ahmad memerlukan bayaran jualan saham tersebut bagi menyara kehidupan anak istimewa beliau di kala usia emasnya.

“Di usia begini, kami sudah hilang upaya untuk menambah pendapatan. Jadi duit tabungan itu nak digunakan di saat hari tua kami.

“Kalau ada imbuhan daripada dana ini, kami berasa agak selesa sedikit di waktu sebegini.

“Kalau diizinkan, kami amat memerlukan untuk menunaikan ibadah umrah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast