KUALA LUMPUR – Prestasi sesebuah kerajaan sepanjang lima tahun boleh terjejas hanya dalam tempoh satu hingga dua minggu kempen pilihan raya apabila naratif yang dimainkan pada saat akhir berjaya mempengaruhi kecenderungan pengundi, kata ahli akademik dan penganalisis politik, Profesor Madya Dr Lau Zhe Wei.
Beliau berkata, tempoh bertenang sebelum pengundian di Malaysia yang hampir tiada menjadikan hari-hari terakhir kempen sangat penting dalam membentuk pandangan dan ‘mood’ pengundi.
Menurutnya, janji atau naratif yang kuat, walaupun tidak semestinya realistik, berpotensi mempengaruhi keputusan pengundi pada saat akhir.
“Prestasi lima tahun boleh rosak dengan kempen satu atau dua minggu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam Forum Politiko bertajuk “Masa Depan Bukan Melayu Dalam Naratif PN-BN”, yang dikendalikan penganalisis politik, Dr Armin Baniaz Pahamin, di sini hari ini.
Zhe Wei berkata, tingkah laku pengundi juga tidak semestinya selari dengan jangkaan parti politik kerana tindakan atau dasar yang sama boleh menghasilkan kesan berbeza terhadap sokongan undi.
Katanya, keputusan pengundi bukan semata-mata berdasarkan penilaian terhadap dasar dan prestasi kerajaan, sebaliknya turut dipengaruhi naratif serta suasana politik menjelang hari pengundian.
Dalam masa sama, beliau berkata politik identiti tidak boleh dihapuskan begitu sahaja tanpa menyediakan naratif lain untuk menggantikannya kerana kekosongan itu boleh menyebabkan isu kaum dan agama kembali menjadi pilihan mudah dalam kempen.
Menurutnya, pengundi muda bukan Melayu pula semakin kurang mempunyai keterikatan sejarah dengan parti tertentu, menjadikan sokongan mereka lebih mudah berubah.
“Kalau mereka merasakan parti tidak mahu melakukan sesuatu atau gagal memenuhi jangkaan, mereka lebih mudah beralih,” ujarnya.
Zhe Wei berkata, perkembangan itu memberi cabaran kepada parti politik yang selama ini bergantung kepada kesetiaan tradisional pengundi kerana generasi baharu lebih menilai prestasi dan keupayaan parti memenuhi tuntutan semasa rakyat.
Katanya lagi, keadaan berkenaan menunjukkan parti politik perlu memahami perubahan cara pengundi membuat keputusan dan tidak terlalu bergantung kepada sokongan berdasarkan identiti atau kesetiaan lama. -MalaysiaGazette
















