Ketua Pengarah Pilihanraya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi MD Nor ketika sesi penggulungan Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-72 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK), Kota Bharu, Kelantan. Foto AIZAT ZAINAL, 05 SEPTEMBER 2026

PENGKALAN CHEPA – Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Muhammad Sanusi Mohd Nor menegur kemelut yang berlaku dalam Pas Perlis dengan meminta semua pihak menghentikan perselisihan.

Beliau menyifatkan Pas Perlis sebagai ‘ketegaq’ kerana masih bergaduh walaupun sudah diberikan teguran dan nasihat sejak tahun lalu.

Menurut beliau, segala usaha untuk menyelesaikan kemelut berkenaan sudah dilakukan namun perkara itu tetap berulang sehingga menjadi semakin serius.

“Kawasan yang telah menang, saya pesan dah tahun lepas. Saya pesan dah, saya tak lepas pun. Lepas pesanan pun berlahi lagi.

“Saya habaq kat orang Perlis jangan berkelahi, balik-balik berkelahi teruk lagi. Sampai la ni, Insya Allah lepas ni tak berkelahi dah.

“Cukuplah setakat tu, hampa ni ketegaq. Hak orang larang tu hampa buat dulu. Tak ada siapa dah nak pergi berubat, hampa berubatlah diri hampa sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan pada Muktamar Pas Tahunan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi yang merupakan Menteri Besar Kedah turut menggunakan kiasan mengenai usaha menyelesaikan kemelut tersebut yang disifatkannya sudah sampai ke tahap maksimum.

“Habis dah ikhtiar. Habis dos paling tinggi dah, tujuh dah. Tak lega juga? Kejap lagi litar pintas banglah,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau menjadikan Johor sebagai antara tumpuan utama strategi pilihan raya Pas selepas ini dan menggesa jentera parti di negeri itu memperkukuh kekuatan akar umbi.

Menurutnya, Johor perlu menjadi titik permulaan kepada strategi lebih besar bagi meningkatkan penguasaan politik Islam dan Melayu, termasuk melalui penambahan cawangan Pas.

“Saya ucap terima kasih kepada orang Johor walaupun (tidak berjaya memenangi kerusi), tapi nak kata apa, nak kata jugalah. Daripada beberapa kali pilihan raya di Johor, orang Johor duduk lagu (macam) tu juga ustaz, tak berkembang!

“Orang yang tolong, orang negeri-negeri (Pas negeri lain) yang tolong, suruh pergi Johor. Saya ingat orang Johor dah bertambah, duduk banyak tu juga, Kerja duduk banyak tu juga.

“Jentera tak bertambah, jangan duduk banyak tu juga. Tapi nak kerusi, nak tanding 15, 11 pun tak payah pergilah,” katanya secara berseloroh.

Sehubungan itu, beliau berharap pendekatan baharu dalam menghadapi pilihan raya dapat diterapkan dengan memberi tumpuan kepada usaha memperbanyakkan cawangan dan memperluaskan keahlian Pas di Johor.

“Saya harap dengan pendekatan baru pilihan raya, bawa orang Johor tambah cawangan bagi banyak. Bukan suruh nikah, tambah cawangan Pas. Buka cawangan banyak-banyak.

“Kita bukan NGO, kita parti politik. Kerja kita nak masuk pilihan raya,” ujarnya.

Muhammad Sanusi turut mengingatkan jentera parti supaya tidak hanya menumpukan aktiviti kebajikan seperti pengagihan bantuan, sebaliknya memastikan kerja politik dan gerak kerja pilihan raya dilaksanakan secara berterusan.

“Kan nampak kerja baik, dia kata beras habis sebulan seribu… seribu… ah? Seribu kampit. Pengundi tak menang!

“Tu kerja NGO, bos…jangan buat kerja NGO, buat kerja parti.

“Kerja parti politik ni berterusan. Dan akhir sekali kita nak orang undi kita. Kalau nak buat kerja edar beras sahaja, pergi masuk tabligh,” katanya.

Beliau menyifatkan perkara itu sebagai cabaran kepada jentera Pas Johor supaya lebih agresif memperkukuh organisasi parti dan memperluaskan pengaruh di negeri berkenaan.

“Orang Johor, ni cabaran sayalah untuk orang Johor. Ustaz Abdullah Hussein (bekas Pesuruhjaya Pas Johor) daripada muda sampai tua. 60 tahun lagi, Insyaallah.

“Berkembanglah wahai Johoren sekalian. Tak larat orang Kedah nak pergi jaga…habaq kena tegur dengan dia. Orang Johor duduk saja je.

“Walaupun tidak berjaya memenangi kerusi, Insya Allah akan meningkatkan penguasaan politik Islam-Melayu di Johor,” tambahnya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, Pas juga akan memberi perhatian kepada Melaka yang bakal menjadi antara medan gerak kerja parti dalam tempoh terdekat.

“Dalam masa yang terdekat ini, kurang daripada 60 hari, kita akan ke Melaka. Bila-bila masa…negeri Melaka pula,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here