Mohd Yussof Latiff

GEORGE TOWN – Kenyataan Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussain berhubung ketiadaan pelantikan ahli politik dalam Lembaga Pengarah TH disifatkan mengguris hati ahli politik, khususnya veteran yang pernah banyak berjasa kepada negara.

Veteran UMNO, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, tidak wajar hanya kerana seorang atau dua ahli politik terbabit rasuah, seluruh golongan berkenaan turut dipandang serong dan dianggap tidak layak.

Katanya, sumbangan ahli politik terhadap negara tidak boleh dinafikan, termasuk dalam memperjuangkan kemerdekaan, membangunkan institusi pendidikan tinggi serta mewujudkan peluang sehingga melahirkan golongan profesional Melayu.

“Bukan tak ada jasa kalau jadi ahli politik. Banyak jasa kita. Mengapa dikeluarkan kenyataan sebegitu?

“Jangan kerana seorang dua, sebahagian kecil kerana melakukan rasuah, nak dihina. Jangan semua ahli politik lain pun terpalit sama,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Abdul Rashid semalam bahawa sejak dilantik sebagai Pengerusi TH pada 2023, beliau tidak membenarkan mana-mana ahli politik dilantik dalam Lembaga Pengarah TH kerana mahu institusi itu ditadbir secara profesional dan bebas daripada campur tangan politik.

Beliau berkata, kenyataan berkenaan tidak wajar kerana golongan profesional juga tidak terkecuali daripada terlibat dalam kes rasuah dan salah laku.

“Profesional pun ada yang korup, ada yang ditahan. Tapi pasal apa dikhaskan ahli politik?

“Saya bantahlah kenyataan itu. Kenyataan itu mengguris hati,” katanya.

Mohd Yussof berkata, beliau bagaimanapun menyokong siasatan dan tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati terbabit rasuah tanpa mengira kedudukan atau latar belakang.

“Biar orang yang makan rasuah, perlu diambil tindakan. Kalau ada orang yang alim agama pun boleh melakukan rasuah, dia tahu yang mana dosa tetapi dia melakukan juga. Ambil tindakan.

“Ahli-ahli politik yang berjasa, yang membuat jasa kepada negara, yang berhemah, yang betul-betul ini, salah tegurlah.

“Berhentilah bergaduh. Malu kita semua. Malulah,” katanya.

Media semalam melaporkan Lembaga Tabung Haji (TH) tidak membuat sebarang pelantikan berunsur politik atau berdepan dengan campur tangan politik di bawah kepimpinan semasa, seiring dengan langkah institusi itu memperkukuh tadbir urus yang lebih profesional.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, sejak dilantik selaku pengerusi pada 2023, beliau tidak membenarkan mana-mana ahli politik dilantik ke dalam Lembaga Pengarah TH memandangkan institusi berkenaan perlu ditadbir secara profesional sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang berwibawa.

Semenjak saya masuk TH, secara asasnya saya tidak benarkan seorang pun ahli politik (dilantik) dalam TH.

“Saya sangat bertuah, saya bekerja dengan dua menteri yang sangat baik, iaitu menteri terdahulu dan sekarang yang memahami saya bukan seorang ahli politik dan saya tidak mahu TH dipengaruhi oleh politik,” katanya kepada pemberita pada program Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan TH di Bangi, Selangor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here