Perwakilan Negeri Sabah, Aliakbar Gulasan bercakap pada perbahasan Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-72 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK), Kota Bharu, Kelantan. Foto AIZAT ZAINAL, 04 SEPTEMBER 2026.

PENGKALAN CHEPA – Sabah mahu hak mendapatkan semula 40 peratus atau 2/5 daripada hasil negeri seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dilaksanakan, bukan sekadar melalui rundingan atau pemberian wang ihsan.

Perwakilan Negeri Sabah, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan berkata, tuntutan berkenaan merupakan antara perkara utama yang diperjuangkan Sabah, khususnya berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang masih belum diselesaikan.

Menurut beliau, Sabah tidak menuntut perkara di luar haknya, sebaliknya mahu kerajaan melaksanakan apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 112C dan 112D.

“Sabah tidak mahu tuntut lebih. Sabah tidak mahu wang ihsan. Yang Sabah mahu adalah hak yang termaktub dalam Perlembagaan 112C dan 112D, yang termaktub di dalamnya 40 peratus ataupun 2/5 daripada hasil Negeri Sabah dipulangkan semula ke Negeri Sabah,” katanya yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelatan (Putik) di sini, hari ini.

Aliakbar berkata, sekiranya diberi peluang untuk memerintah Malaysia kelak, pihaknya berharap tuntutan tersebut tidak lagi menjadi perkara untuk dirundingkan, sebaliknya dilaksanakan bersama.

“Kita berharap bahawa insya-Allah, ketika mana nanti kita akan memerintah Malaysia, kita berharap perkara ini bukan perkara untuk dirundingi, tetapi perkara ini adalah untuk kita laksanakan bersama-sama,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Aliakbar melahirkan kekecewaan terhadap pelaksanaan subsidi bersasar menerusi Budi Madani yang menurutnya memberi kesan kepada rakyat Sabah.

Katanya, kerajaan tidak seharusnya hanya mempertimbangkan peningkatan had penggunaan petrol atau diesel daripada 200 kepada 300 liter, sebaliknya menilai semula keseluruhan pelaksanaan subsidi berkenaan mengikut keadaan dan keperluan rakyat Sabah.

“Kita berharap kepada kerajaan bukan setakat menaikkan 200 ke 300 liter sama ada petrol ataupun diesel.

“Rakyat Sabah antara rakyat yang susah, rakyat Sabah baru mahu bangun, berniaga, menghidupkan keusahawanan,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau meminta Budi Madani atau apa sahaja mekanisme subsidi bersasar berkaitan bahan api dihapuskan supaya rakyat Sabah kembali menikmati harga minyak bersubsidi seperti sebelum ini.

Menurutnya lagi, keadaan muka bumi, demografi dan geografi Sabah menyebabkan negeri itu mempunyai keperluan berbeza yang perlu diambil kira dalam menentukan dasar subsidi bahan api.

“Kita minta supaya Budi Madani ini atau apa sahaja namanya ditiadakan dan dihapuskan supaya harga minyak di Negeri Sabah tidak ada lagi yang tidak bersubsidi, melainkan yang bersubsidi belaka seperti mana sebelum daripada ini.

“Kerana Sabah, dengan muka buminya, demografi dan geografinya, sangat memerlukan kembali kepada asal seperti mana sebelum daripada ini,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here