PENGKALAN CHEPA – Kerjasama dan muafakat antara dua parti terbesar Melayu perlu dilihat sebagai usaha membentuk keadaan politik negara yang lebih stabil, harmoni dan makmur, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau berkata, sokongan terhadap agenda yang mampu menyatukan umat Islam dan orang Melayu tidak bermakna hak serta kepentingan bangsa dan agama lain dinafikan.
“Ini masih terlalu awal nak membincang, tapi apa-apa pun kita mendokong penyatuan ummah sebagaimana harapan majoriti rakyat.
“Tetapi, seperti mana yang selalu kita tekankan, penyatuan ummah tidak bermakna kita menafikan bangsa-bangsa ataupun agama-agama lain. Teras negara kita, induknya Melayu dan Islam,” katanya ketika ditemui pada Muktamar Pas ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) di sini, hari ini.
Mengulas kemungkinan kerjasama kali ini menjadi titik perubahan baharu kepada usaha penyatuan Melayu, Asyraf Wajdi menjelaskan, kerjasama berkenaan tidak boleh disamakan dengan Muafakat Nasional (MN) sebelum ini.
“Ini bukan MN. Kita seperti mana yang disebutkan oleh presiden, mendokong apa jua agenda yang boleh memastikan harapan orang Melayu melihat dua parti terbesar ini dapat kita ada pemuafakatan yang baik.
“Dan yang paling penting, ia boleh memberikan suatu aspirasi besar negara yang mahu melihat keadaan negara yang lebih politiknya stabil, harmoni dan makmur,” ujarnya.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Asyraf Wajdi berkata, pihaknya menyifatkan penerimaan jemputan rasmi daripada Pas sebagai satu langkah yang boleh membuka lembaran baharu ke arah muafakat nasional, khususnya dalam kalangan orang Melayu dan Islam.
Katanya, jemputan tersebut telah diterima secara rasmi dan dibincangkan dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum keputusan dibuat untuk menghadirinya.
Beliau berkata, UMNO menerima jemputan berkenaan dengan hati terbuka atas dasar hubungan sesama orang Melayu dan umat Islam.
“Yang penting, kami menerima jemputan secara rasmi dan kami bincang dalam Majlis Kerja Tertinggi.
“Sebagai orang Melayu dan orang Islam, kita menerima jemputan ini dengan hati terbuka,” ujarnya. – MalaysiaGazette

















rakyat mahu pru 16 diawalkan supaya raja sakau dapat kita seret ke muka pengadilan supaya isu KWAP KKDW dan KOPERAT MAFIA dapat di bongkar dan kita pakaikan dia baju orendsn bergari.