KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa memastikan tidak wujud sebarang campur tangan politik terhadap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) atau mana-mana institusi kerajaan berhubung penggantungan semua kegiatan Perikatan Nasional (PN).
Pengerusi Sekretariat Gerakan Suara Rakyat Malaysia Sejahtera (Suara Rakyat), Mohd. Zai Mustafa berkata, jika tindakan RoS benar-benar berasaskan undang-undang dan peraturan pertubuhan, prosesnya mestilah telus, konsisten dan bebas daripada sebarang tekanan politik.
Ujarnya, RoS telah menjelaskan bahawa tindakan tersebut bukan pembatalan pendaftaran PN, sebaliknya satu penggantungan sementara susulan notis yang memerlukan PN memberikan penjelasan berhubung aduan yang dikemukakan oleh Bersatu.
Sehubungan itu, Suara Rakyat mengingatkan kerajaan supaya menjaga kebebasan serta kewibawaan institusi negara kerana demokrasi yang matang tidak seharusnya takut kepada persaingan politik.
Katanya, sebarang persepsi bahawa agensi kerajaan digunakan untuk kepentingan politik hanya akan menghakis keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi.
“Jangan takut kepada suara rakyat. Jangan matikan persaingan politik melalui institusi. Biarkan undang-undang berjalan secara adil dan akhirnya, biarkan rakyat menentukan pilihan mereka sendiri.
“Lawanlah hujah dengan hujah, dasar dengan dasar dan serahkan mandat kepada rakyat melalui peti undi.
“Institusi negara adalah milik rakyat, bukan milik kerajaan yang sedang memerintah dan bukan pula alat mana-mana parti politik,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Zai selanjutnya menyatakan, perkembangan yang berlaku menjadi peringatan kepada parti-parti politik berteraskan Melayu-Islam bahawa perpecahan berpanjangan tidak membawa manfaat kepada masyarakat mahupun kestabilan negara.
Menurut beliau, Suara Rakyat menyeru pimpinan parti-parti berkenaan, sama ada dalam atau di luar PN termasuk tokoh-tokoh UMNO yang berkongsi aspirasi tersebut supaya membuka ruang dialog mengenai kerjasama politik yang lebih tersusun.
“Perbezaan boleh dibincangkan. Ego politik boleh diketepikan. Kepentingan rakyat dan negara mesti mengatasi kepentingan individu serta parti,” ujarnya.
Beliau selanjutnya berkata, Suara Rakyat berpandangan Datuk Seri Hamzah Zainudin selaku Ketua Pembangkang boleh memainkan peranan aktif dalam usaha membuka ruang perbincangan antara parti-parti pembangkang dan kelompok politik Melayu-Islam.
Menurutnya, penyatuan yang sebenar tidak boleh dibina atas kepentingan seorang individu sebaliknya perlu berasaskan prinsip, persefahaman, kestabilan politik serta agenda yang jelas untuk rakyat.
“Hari ini rakyat berhadapan dengan persoalan kos sara hidup, pendapatan, peluang pekerjaan, perumahan dan masa depan anak-anak mereka,” katanya. – MalaysiaGazette
















