KUALA LUMPUR – Dakwaan sekurang-kurangnya 71 kontena menuju Israel melalui Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor, menimbulkan persoalan mengenai kawalan dan penguatkuasaan di sepanjang rantaian perdagangan negara.
Citizen-Led Accountability Network (CLAN) menegaskan perkara itu perlu diberi perhatian serius sekiranya dakwaan berkenaan benar, terutama selepas kerajaan sebelum ini mengambil tindakan menyekat penghantaran tertentu yang mempunyai kaitan dengan Israel.
Dalam kenyataan media, CLAN berkata, pihaknya memandang serius dakwaan 71 kontena berkenaan telah atau sedang menuju ke PTP berdasarkan dokumentasi yang dikaitkan dengan BDS Malaysia.
Menurutnya, kerajaan perlu memberikan penjelasan sekiranya dakwaan tersebut disahkan, termasuk bagaimana penghantaran berkenaan boleh melalui sistem perdagangan dan pelabuhan negara.
“Ini bukan satu kontena. Bukan dua. Ini dakwaan melibatkan 71 kontena,” menurut kenyataan itu.
CLAN turut mempersoalkan sama ada terdapat kelemahan sistem atau kelompongan penguatkuasaan yang memungkinkan penghantaran seumpama itu berlaku.
Pertubuhan itu menggesa supaya mekanisme usaha wajar (due diligence), audit dan pengesanan diwujudkan di semua pelabuhan Malaysia bagi memastikan penghantaran yang bercanggah dengan undang-undang serta dasar negara dapat dikenal pasti lebih awal.
“Sekiranya terdapat pihak yang sengaja meminta atau menyalahgunakan sistem, ambil tindakan tanpa mengira sebesar mana syarikat atau setinggi mana kedudukan mereka,” tegasnya.
Bagaimanapun, CLAN mengingatkan bahawa dakwaan terbabit perlu disiasat berdasarkan bukti dan tidak wajar dibuat tanpa pengesahan.
“Tuduhan keterlibatan dalam pelanggaran undang-undang atau dasar negara terlalu serius untuk dibuat tanpa pengesahan, tetapi terlalu serius juga untuk didiamkan,” katanya.
CLAN turut mempersoalkan keselarasan antara pendirian Malaysia terhadap Palestin dengan apa yang berlaku dalam sistem perdagangan dan pelabuhan negara.
“Malaysia tidak boleh mempunyai dua wajah. Satu wajah berdiri bersama Palestin. Satu lagi membiarkan kelompongan yang memungkinkan perdagangan ke Israel berjalan melalui wilayah kita,” ujarnya lagi.
Jika dakwaan 71 kontena itu disahkan, CLAN mahu kerajaan menjawab beberapa persoalan termasuk siapa yang membuka laluan, siapa yang meluluskan penghantaran, siapa yang mendapat keuntungan dan siapa yang perlu dipertanggungjawabkan.
Pertubuhan itu berkata Malaysia sebelum ini mengambil tindakan terhadap kapal dan urusan tertentu yang mempunyai kaitan dengan Israel daripada menggunakan kemudahan pelabuhan negara.
Justeru, tegasnya, pendirian kerajaan berhubung perkara itu perlu disusuli penguatkuasaan yang konsisten di lapangan.
“Jangan Palestin jadi pidato di pentas dunia, tetapi dasar Malaysia bocor di pelabuhan sendiri,” tegasnya. -MalaysiaGazette
















