PUTRAJAYA – Ribuan rakyat yang memenuhi Pusara Negara, Presint 20 di sini, seketika terdiam apabila van jenazah Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali tiba untuk pengebumian petang ini.
Van jenazah yang membawa Allahyarham memasuki kawasan Pusara Negara selepas dibawa dari Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi Indah.

Mengiringi perjalanan terakhir itu ialah kenderaan yang membawa suami Allahyarham, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang berada di belakang van jenazah.
Beliau kelihatan sayu dan hanya bersandar pada kerusi sambil tunduk.
Ribuan rakyat yang sejak petang menunggu ketibaan Allahyarham di kawasan berkenaan dilihat memberi laluan kepada rombongan jenazah.
Suasana yang sebelum itu dipenuhi pergerakan orang ramai dan petugas bertukar hening sebaik sahaja van jenazah tiba di kawasan pusara.
Sebahagian yang berada di sepanjang laluan hanya berdiri dan memandang van jenazah yang bergerak perlahan menuju ke lokasi pengebumian.
Kehadiran orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat sejak petang tadi jelas menunjukkan penghormatan terakhir yang diberikan kepada Allahyarham yang meninggal dunia pagi tadi pada usia 100 tahun.
MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan ribuan rakyat sudah berada di Pusara Negara sejak kira-kira 3.30 petang bagi menunggu ketibaan jenazah.
Tun Siti Hasmah kemudiannya dibawa ke lokasi persemadian yang terletak bersebelahan pusara Allahyarham Tun Endon Mahmood, isteri bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Ribuan yang hadir bukan sekadar menunggu sebuah istiadat negara berlangsung, tetapi menjadi saksi kepada saat terakhir seorang tokoh yang selama puluhan tahun dikenali sebagai isteri kepada bekas Perdana Menteri dan figura tersendiri dalam sejarah negara. -MalaysiaGazette
















