Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika sesi penggulungan Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-72 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK), Kota Bharu, Kelantan. Foto AIZAT ZAINAL, 05 SEPTEMBER 2026

PENGKALAN CHEPA – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendedahkan Amerika Syarikat (AS) pernah menawarkan bantuan kepada parti itu untuk menjatuhkan kerajaan dan mengambil alih pemerintahan negara.

Menurut beliau, perkara itu berlaku ketika lawatan bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ke Malaysia, apabila beberapa pemimpin Pas ketika itu dijemput bertemu di Kedutaan Amerika Syarikat.

Katanya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Dr. Samsuri Mokhtar yang merupakan ketua politiknya ketika itu telah pergi ke kedutaan berkenaan untuk mengadakan pertemuan.

“Dia (pihak AS) nak ajak bincang, sanggup nak jatuh kerajaan, nak ambil alih kerajaan. Amerika sanggup tolong,” katanya ketika ketika menggulung perbahasan pada Muktamar Pas Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), di sini, hari ini.

Abdul Hadi berkata, kedua-dua pemimpin Pas berkenaan bagaimanapun tidak terpengaruh dengan tawaran tersebut dan kekal dengan pendirian parti.

Menurutnya, selepas itu Duta AS meminta untuk bertemu dengannya dan beliau memenuhi permintaan tersebut bersama Datuk Mustafa Ali.

“Dia tanya, siapa Pas cadang jadi perdana menteri?

“Saya kata, siapa Amerika setuju? Siapa Amerika sokong, siapa dia?” ujarnya.

Abdul Hadi berkata, jawapan itu menyebabkan wakil AS berkenaan tergamam sebelum menyatakan bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad merupakan calon yang baik.

Beliau berkata, persoalan mengenai siapa yang bakal menjadi perdana menteri tidak sepatutnya menjadi keutamaan kerana perkara lebih penting ialah memastikan perpecahan dan krisis politik dapat diselesaikan.

“Yang penting, kita buat kerja. Kita selesaikan perpecahan, selesaikan krisis. Balik buat kerja, jalankan tugas,” tambahnya.

Pada masa sama, Abdul Hadi menyeru semua pihak supaya tidak terus berbalah dan sebaliknya kembali bersatu demi kepentingan bersama. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here