KUALA LUMPUR – Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Malaysia menyokong penuh terhadap himpunan aman yang dianjurkan masyarakat sivil bagi mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan dakwaan ‘mafia korporat’ serta kempen Hands Off NGO.
Setiausaha Publisiti DAPSY Kebangsaan, Ho Chi Yang berkata, pimpinan dan ahlinya akan hadir pada himpunan yang dijadualkan berlangsung pada Ahad, 27 September ini, jam 3 petang di hadapan SOGO, Kuala Lumpur sebagai tanda solidariti bersama aktivis masyarakat sivil dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Menurutnya, sokongan tersebut selari dengan pendirian DAP yang sebelum ini berulang kali dan secara terbuka mendesak supaya RCI berkaitan dakwaan ‘mafia korporat’ ditubuhkan.
Desakan penubuhan RCI itu sebelum ini turut dibangkitkan dalam DAP, manakala kerajaan menyatakan ia terbuka untuk mempertimbangkan RCI atau mekanisme lain yang bersesuaian sekiranya diperlukan demi kepentingan awam, dengan mengambil kira fakta dan dapatan siasatan pihak berkuasa.
Jelas beliau, DAPSY akan terus membawa isu berkenaan kepada perhatian rakyat melalui pelbagai kaedah termasuk perhimpunan aman dan demonstrasi.
“Jika benar wujud ‘tangan-tangan ghaib’ atau dalang yang melindungi amalan salah guna kuasa dan rasuah merentasi sektor negara, pendedahan menyeluruh wajib dilakukan tanpa pilih kasih dan hanya melalui siasatan yang telus menerusi RCI merupakan satu-satunya jalan untuk kita membersihkan serta memulihkan wibawa institusi-institusi penting negara,” menurutnya dalam satu kenyataan.
DAPSY turut berpendirian bahawa aktivis masyarakat sivil dan NGO perlu dilihat sebagai rakan kerjasama dalam agenda reformasi negara, bukannya dimusuhi atau dibungkam menggunakan undang-undang tertentu.
Katanya, selagi teguran daripada aktivis masyarakat dan NGO tidak mengapi-apikan sentimen perkauman atau keagamaan, pandangan serta kritikan mereka wajar diterima sebagai sebahagian daripada proses membina Malaysia yang lebih progresif dan inklusif.
Tambah beliau, sejarah telah membuktikan bahawa tanpa sokongan, keberanian dan usaha pencerahan daripada NGO serta aktivis masyarakat sivil kepada rakyat, skandal-skandal besar negara seperti skandal 1MDB contohnya tidak mungkin dapat didedahkan dan pelakunya dibawa ke muka pengadilan seperti yang kita lihat hari ini.
Justeru peranan NGO dan aktivis masyarakat sivil dalam memberi pencerahan adalah pasak utama kepada akauntabiliti negara dan dilihat sebagai pemangkin dalam menjayakan agenda Reformasi selaras dengan teras perjuangan Kerajaan Madani.
“Atas prinsip kebebasan bersuara, keadilan sosial dan reformasi institusi, DAPSY sekali lagi menegaskan sokongan padu ke atas perhimpunan ini dan menyeru rakyat Malaysia yang cintakan keadilan dan kebebasan bersuara untuk bersama-sama turun menyatakan pendirian,” ujar beliau. – MalaysiaGazette
















