PUTRAJAYA – Seramai 84 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya dalam Ops Pintu di Pangsapuri Putra Harmoni yang lebih dikenali sebagai ‘Flat Hijau’, awal pagi tadi.
Kesemua mereka ditahan selepas 321 individu diperiksa dalam operasi yang dilaksanakan selama dua hari itu.
JIM Putrajaya dalam kenyataan berkata, operasi berkenaan digerakkan dalam dua fasa bermula semalam pada jam 11.30 pagi dengan pemeriksaan dan tindakan terhadap premis perniagaan di kawasan pangsapuri berkenaan.
“Operasi diteruskan hari ini bermula jam 1.30 pagi dengan sasaran utama penghuni yang disyaki merupakan PATI,” katanya.
Daripada 84 PATI yang ditahan, 73 merupakan lelaki, sembilan perempuan dan dua kanak-kanak untuk tindakan serta siasatan lanjut.

Difahamkan seramai 60 pegawai JIM daripada pelbagai pangkat terlibat dalam operasi tersebut.
Menurut JIM, operasi itu dijalankan susulan aduan awam dan maklumat yang diterima melalui media sosial sebelum diperkukuh menerusi risikan jabatan.
“Hasil risikan mendapati terdapat warga asing yang menetap di kawasan berkenaan dan sebahagiannya dipercayai menjalankan aktiviti perniagaan di kawasan tersebut,” katanya.
JIM berkata, operasi itu merupakan kesinambungan penguatkuasaan di kawasan penempatan yang dikenal pasti mempunyai kepadatan warga asing yang tinggi, susulan tindakan yang dilaksanakan pada 9 September lalu.
“JIM memandang serius isu penempatan PATI secara berkelompok serta aktiviti yang dijalankan tanpa mematuhi peruntukan undang-undang imigresen,” tambah beliau.
Jabatan ini turut menggesa pemilik rumah dan premis supaya bertanggungjawab terhadap penyewa masing-masing serta memastikan status imigresen penghuni atau penyewa adalah sah dan mematuhi syarat ditetapkan.
Pada masa sama, orang ramai digalakkan terus menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran PATI atau aktiviti yang disyaki melanggar undang-undang.
“Masyarakat merupakan ‘mata dan telinga’ serta rakan strategik JIM dalam membantu jabatan mengenal pasti lokasi dan aktiviti yang memerlukan tindakan penguatkuasaan,” tegasnya sambil merakamkan penghargaan kepada masyarakat yang menyalurkan maklumat kepada JIM.
JIM Putrajaya berkata, operasi secara berterusan, bersasar dan berasaskan risikan akan dipergiatkan bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen serta membanteras kehadiran PATI di lokasi yang dikenal pasti. – MalaysiaGazette
















