Rizal Rickman Ramli

KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyasarkan RM15 bilion pelaburan dalam aset hijau dan peralihan serta RM500 juta bagi pelaburan sosial berimpak menjelang 2030 menerusi Rangka Kerja Kemampanan 2026 (SF 2026).

PNB berkata, SF 2026 merupakan pelan hala tuju yang diperkukuh bagi menerapkan pertimbangan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) merentasi aktiviti pelaburan, operasi dan pengawasan institusi berkenaan.

Berteraskan tema “Melabur Secara Bertanggungjawab, Memperkasa Generasi”, rangka kerja itu mengandungi tiga teras strategik yang disokong komitmen serta sasaran boleh diukur sehingga 2030 dan seterusnya.

Tiga teras berkenaan ialah Memacu Kemampanan Organisasi, Tadbir Urus Bertanggungjawab dan Memperkukuh Agenda Pembinaan Negara.

Menurut PNB, teras Memacu Kemampanan Organisasi memberi tumpuan kepada pengukuhan amalan kemampanan dalam operasi termasuk mengekalkan pelepasan Sifar Bersih Skop 1 dan Skop 2, selain menyokong aspirasi jangka panjang mencapai Pelepasan Sifar Bersih menjelang 2050.

PNB turut memberi tumpuan kepada pengurangan pelepasan tidak langsung daripada perjalanan urusan perniagaan, perolehan mampan serta aspek kebolehcapaian dan keterangkuman di premis dan perkhidmatannya.

Bagi teras Tadbir Urus Bertanggungjawab pula, PNB akan memanfaatkan kedudukannya sebagai pelabur institusi bagi menggalakkan amalan perniagaan yang lebih kukuh dan mampan.

Antara sasaran yang diperkenalkan termasuk penyahkarbonan portfolio, daya tahan terhadap perubahan iklim, pertimbangan alam semula jadi dan biodiversiti serta amalan pekerjaan yang adil dan saksama, termasuk prinsip hak buruh dan gaji kehidupan wajar.

Sementara itu, teras Memperkukuh Agenda Pembinaan Negara memberi tumpuan kepada impak secara langsung kepada rakyat Malaysia, selaras dengan matlamat PNB untuk mengukuhkan kedudukan kewangan rakyat merentas generasi.

Ia merangkumi inisiatif pembangunan bakat, biasiswa, pelaburan dalam komuniti, celik kewangan, pemeliharaan warisan dan pelaburan sosial berimpak.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Rizal Rickman Ramli berkata, kemampanan telah menjadi sebahagian penting dalam pelaksanaan mandat institusi itu.

Beliau berkata, daripada 10 sasaran yang ditetapkan menerusi Rangka Kerja Kemampanan PNB pada 2022, sebanyak lapan sasaran telah berjaya dicapai.

“Ini termasuk mencapai sasaran Perusahaan Sifar Bersih 2025, memastikan 100 peratus penggunaan elektrik perusahaan PNB disokong oleh sijil tenaga boleh baharu, serta melabur sebanyak RM8.1 bilion dalam aset hijau dan aset peralihan.

“Kami turut mencatat kemajuan dalam memperkukuh amalan di tempat kerja serta pelaburan bertanggungjawab merentasi portfolio kami,” katanya.

Rizal berkata, pencapaian berkenaan menunjukkan usaha kemampanan kini telah diterapkan dalam cara PNB melabur, menjalankan operasi dan melaksanakan peranannya sebagai institusi pelaburan yang bertanggungjawab.

Menurutnya, SF 2026 bukan perubahan asas terhadap pendekatan PNB, sebaliknya kesinambungan daripada usaha yang telah dilaksanakan sejak empat tahun lalu.

“Sebagai sebuah institusi yang mendukung amanah rakyat Malaysia, kami memastikan nilai yang kami cipta dapat diwariskan merentasi generasi, di samping menyumbang kepada negara Malaysia yang lebih berdaya tahan, inklusif dan mampan,” katanya.

Secara keseluruhan, SF 2026 mengandungi 16 sasaran boleh diukur yang merangkumi aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus.

PNB berkata, rangka kerja itu mencerminkan pendekatan lebih menyeluruh terhadap penggunaan modal, bukan sahaja bagi menjana pulangan kewangan mampan tetapi turut menyokong peralihan kepada ekonomi yang lebih berdaya tahan, membuka peluang dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here