Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban.

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen sedang mengumpul maklumat risikan bagi mengesan lebih 1,300 warga asing yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dipercayai diperoleh secara haram melalui sindiket.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata, menerusi Op Crack, bahagian penguatkuasaan sedang mengenal pasti dan mengesan kedudukan warga asing yang menggunakan pas berkenaan.

“Sekurang-kurangnya 1,300 PLKS yang dipercayai berada di tangan warga asing selepas dikeluarkan melalui sindiket berkenaan,” ujarnya.

Zakaria berkata, jabatan itu turut mengalu-alukan maklumat daripada orang awam yang dapat membantu pegawai penguat kuasa mengesan warga asing yang memegang PLKS palsu.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa pegawai imigresen yang cuba mengesan pemegang PLKS yang dikeluarkan secara haram itu menghadapi jalan buntu selepas mendapati alamat yang didaftarkan juga adalah palsu.

Jabatan itu sudah menjalankan beberapa serbuan di alamat yang dikaitkan dengan PLKS sebagai sebahagian daripada siasatan yang sedang dijalankan.

Bagaimanapun, pegawai mendapati maklumat yang didaftarkan di bawah permit berkenaan tidak sepadan dengan lokasi fizikal sebenar.

Zakaria berkata, walaupun sistem mereka mengandungi alamat tertentu namun premis berkenaan adalah berbeza daripada apa yang dinyatakan dalam PLKS selain maklumat majikan juga berbeza.

Jabatan itu sebelum ini menyatakan ia akan membatalkan semua PLKS yang diluluskan secara tidak sah dan mengesan pemegangnya ekoran tumpasnya sindiket yang disyaki menggodam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) untuk memanipulasi proses kelulusan pas.

Zakaria berkata, tindakan itu adalah langkah pertama susulan penemuan kelulusan PLKS yang tidak mematuhi prosedur semasa Op Crack, iaitu operasi bersama antara Jabatan Imigresen dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sebelum ini, dilaporkan bahawa 12 individu, termasuk enam kakitangan Jabatan Imigresen dan seorang pegawai polis, ditahan oleh SPRM kerana didakwa terbabit sindiket itu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here